KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tidak mengeluarkan sebarang notis kepada Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat bagi membantu siasatan kes sebagaimana dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd baru-baru ini.
Sebaliknya agensi anti rasuah itu menegaskan pihaknya telah berusaha untuk mengesannya dalam hal berkaitan.
“SPRM telah pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu untuk menyerahkan notis berkenaan namun didapati salah sebuah premis tersebut telah dijual manakala satu lagi kediaman tidak dihuni olehnya,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Tambah SPRM lagi, pada tarikh sama, pihaknya juga telah pergi ke pejabat Justin yang terletak di ibu negara dan Johor namun mendapati Justin tiada di lokasi tersebut.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, didapati Justin telah meninggalkan negara ini pada Februari lalu dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.
“Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai 2023 yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah,” kata kenyataan itu.
SPRM bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Justin dalam hal berkenaan namun menegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd itu perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan pihaknya berkaitan siasatan kes berkenaan.
Untuk rekod, Justin berada di bawah siasatan agensi antirasuah berhubung dakwaan pembayaran berjumlah RM2.5 juta yang dibuat kepada sebuah syarikat swasta bernama HGC Legacy Enterprise. – MalaysiaGazette