Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Bazar Ramadan Rahmah di Presint 14, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia malam tadi.

Pemergian yang mengejutkan selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.

Jihad Salahuddin selepas dilantik sebagai menteri KPDN adalah memastikan orang-orang miskin dan susah tidak kelaparan melalui ‘Menu Rahmah’ dan ‘Harga Rahmah’.

“Cita-cita saya adalah kalau boleh Rahmah ini jadi satu value. Mungkin sampai bila-bila setiap peniaga atau antara kita yang membuka perniagaan, yang untung ataupun tidak untung, tapi ada portion daripada perniagaaan kita dah niat untuk bantu orng yang susah.

“Kalau itu boleh berlaku, insya-Allah negara Malaysia boleh jadi negara kasih sayang,” katanya dalam Dewan Rakyat pada Februari lalu.

Ahli Parlimen Pulai itu ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkata, usaha diperkenalkan di bawah Payung Rahmah itu dapat meringankan beban dan amat bermakna kepada mereka yang memerlukan.

Dengan harga serendah RM5 beliau bukan sahaja memastikan hidangan yang disediakan kepada golongan miskin bukan ala kadar tetapi juga menjaga maruah kumpulan yang membeli makanan tersebut.

“Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium, takkanlah saya sebagai menteri dan kementerian dalam sesi perbincangan, rela untuk menerima mana-mana peniaga membuat satu menu kelas terendah yang mungkin kuah cair atau nasi daripada beras tak berkualiti dan ikan atau ayam tak berkualiti.

“Kita juga tak namakan itu menu B40, semua orang boleh menikmati hidangan itu kerana kita ingin menjaga juga air muka dan maruah B40. Ini adalah hidangan untuk semua…Rahmah for all, Rahmah untuk semua,” katanya.

Ketika Menu Rahmah diterima baik dan popular ada pihak yang cuba mengecilkan idea tersebut dengan mendakwa konsep berkenaan telah diperkenalkan sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Salahuddin tidak berkecil hati, menurutnya siapa pencetus idea konsep Rahmah tidak perlu menjadi pertikaian mana-mana parti politik, selagi mana inisiatif itu dapat memanfaatkan rakyat.

“Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (parti politik) hendak claim inisiatif Rahmah, apa yang penting bagi saya rakyat mendapat faedah.

“Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad di era beliau, sudah ada baby iaitu Wawasan 2020, jadi saya rasa itu tidak menjadi pertikaian.

“Bagi saya, biarlah era Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan konsep Madani dan memperkenalkan inisiatif Rahmah yang mana ia dapat menyantuni serta mendasari setiap keperluan rakyat,” katanya

Sehingga kini Menu Rahmah dan Harga Rahmah terus menjadi pilihan kepada sebahagian rakyat yang masih merasai ekonomi.

Twitter terakhir Salahuddin membuktikan bahawa beliau sentiasa prihatin terhadap ‘perut rakyat’.

Beliau meninjau Pekan Nat di Kedah dan memastikan harga jualan di pasar tersebut berpatutan dan mampu dibeli oleh rakyat.

“Elok tengok semua barang basah semua fresh. Harga pun berpatutan. Terima kasih lah semua naa. Kita jumpa lagi nanti,” katanya dalam catatan terakhir di Twitter.

Kini Salahuddin telah pergi untuk selama-lamanya. Jasadnya akan dikebumikan hari ini di Serkat, Pontian, Johor.

Bagi mereka yang pernah kenal erti ‘kelaparan’ dan ‘perut kosong’ legasi Allahyarham akan terus diingati.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast