AUCKLAND – Menteri kehakiman New Zealand melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan kereta.
Kiri Allan, 39, didakwa memandu dengan cuai dan menghalang penahanannya.
Beliau adalah menteri keempat dalam Kabinet Perdana Menteri Chris Hipkins yang meninggalkan jawatan sejak Mac, menjelang pilihan raya yang dijadualkan pada Oktober ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam nahas yang berlaku di ibu negara Wellington pada malam Ahad.
Susulan penahanannya, bekas menteri itu ditahan di balai polis selama empat jam sebelum dibebaskan sebelum dihadapkan ke mahkamah nanti.
Allan, yang dikatakan mengalami “kesusahan emosi yang melampau”, akan kekal sebagai ahli Parlimen buat masa ini.
“Beliau faham sukar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai menteri terutamanya bagi seorang menteri kehakiman untuk didakwa atas kesalahan jenayah,” kata perdana menteri dalam sidang media.
Allan, yang juga menteri pembangunan wilayah, pemuliharaan dan pengurusan kecemasan, baru-baru ini mengambil cuti kerana “masalah peribadi”, hanya kembali bekerja pada Isnin lalu.
Beliau juga mengakui baru berpisah dengan pasangannya bulan lalu dan juga dilaporkan mengalami masalah dengan kakitangannya.
Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, Allan berkata, beliau telah kembali ke Parlimen kerana percaya boleh menyesuaikan cabaran peribadi dengan tugasnya.
“Tindakan saya semalam menunjukkan saya tidak sihat,” katanya sambil menambah akan mempertimbangkan masa depannya dalam politik. – Agensi