Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman memberi penerangan kepada pekerja di sebuah premis di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

KUANTAN –  Op Kesan membabitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diadakan bagi mengesan majikan yang gagal menyediakan perlindungan keselamatan sosial.

Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, seramai 162 majikan membabitkan 567 premis diperiksa dalam operasi kali ini.

”Operasi bermula bermula 2 Julai lalu sehingga hari ini dan  jumlah kompaun yang dikeluarkan kepada majikan terlibat mencecah lebih RM153,000.

”Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerja 2017,” katanyan ketika ditemui selepas Ops Kesan yang dijalankan di sekitar Tanjung Lumpur hari ini.

Pihaknya telah memeriksa 11 lokasi sekitar Kuantan yang dijalankan secara bersepadu sempena pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat PERKESO Negeri Pahang.

Menurutnya, sepanjang operasi hari ini sahaja, sebanyak 108 premis diperiksa dengan 33 majikan dikenakan kompaun dengan nilai RM29,500.

Jelas Hisham, pihaknya tidak menerima alasan diberikan majikan seperti sibuk, tiada masa  dan sebagainya kerana notis peringatan telah dihantar kepada majikan pada Ops Bulan Pemutihan yang dijalankan PERKESO bulan Mei lalu.

Beliau menegaskan, majikan yang dikenakan kompaun serta gagal mematuhi akta itu boleh dikompaun RM500 hingga RM4,000 mengikut jenis kesalahan.

Jika notis kompaun itu diabaikan, majikan boleh didakwa di mahkamah dengan hukuman denda RM10,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast