RAKYAT Selangor menunggu dengan debaran senarai nama calon Perikatan Nasional (PN) diumumkan untuk pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setakat berita ini ditulis, Parti Bersatu, Pas dan Parti Gerakan belum menamakan calon masing-masing yang bakal masuk gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Namun parti gabungan PH-BN sudah menyenarai penuh nama calon masing-masing, kecuali DAP yang dikatakan akan diumumkan hari ini.
Berdasarkan senarai nama, BN, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan kira-kira 80 peratus muka baharu, manakala 20 peratus lagi penyandang dan calon yang pernah tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan PRU14.
Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, pembahagian jumlah kerusi menyaksikan PKR mendapat 20 kerusi, DAP (15), BN (12) dan Amanah (sembilan).
Sudah tentu calon ditampilkan PH-BN ini bakal memberi tentangan sengit terhadap lawannya dari PN dengan pertandingan dua penjuru.
Jika ada calon Bebas pun, ia tidak memberi kesan kepada PH-BN dan PN kerana kehadirannya umpama melukut di tepi gantang.
Dalam PRN kali ini, PKR memilih kerusi DUN Permatang dengan meletakkan muka baharu, Mohd Yahya Mat Sahri dan Bukit Melawati (Thiban Subramaniam) yang mana kerusi ini dimenangi Juwairiya Zulkifli.
DUN Ijok juga meletakkan calon muka baharu menggantikan penyandangnya, Dr. Idris Ahmad, manakala DUN Rawang dikekalkan penyandangnya, Chua Wei Kiat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua, Hulu Kelang pula ditempatkan Juwairiya menggantikan penyandangnya, Saari Sungib.
Muka baharu PKR, Mohd Kamri Kamaruddin dicalonkan di DUN Bukit Antarabangsa untuk melawan penyandangnya dari PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, jika dikekalkan. Namun, bekas Ahli Parlimen Gombak itu dikatakan akan berpindah DUN lain.
DUN Lembah Jaya menampilkan artis yang juga penyanyi, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet, menggantikan Haniza Mohamed Talha yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun, berdasarkan senarai, nama bekas Exco Pelancongan & Alam Sekitar, Hee Loy Sian tidak disenaraikan, sebaliknya digantikan dengan calon muka baharu, David Cheong.
DUN Seri Setia juga menampilkan calon muka baharu, Fahmi Ngah, diikuti Taman Medan, Ahmad Akhir (menggantikan Syamsul Firdaus Mohamed Supri), Bukit Lanjan, Phua Pei Lei (menggantikan Elizabeth Wong Keat Peng).
Bekas Exco Belia negeri, Datuk Mohd Khairuddin Othman kekal mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras, Kota Damansara (Amin Yazid muka baru), Kota Anggerik (Najwan Halimi kekal) dan Sementa, Erni Afrishah Azizi (menggantikan Dr. Daroyah Alwi yang keluar PKR).
DUN Pelabuhan Klang kekal penyandangnya, Azmizam Zaman Huri, Sentosa (Gunarajah R George kekal), Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni (kekal) dan Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah juga kekal).
BN pula mengekalkan penyandangnya, Datuk Rizam Ismail di DUN Sungai Air Tawar dan Datuk Mohd Imran Tamrin di Sungai Panjang.
DUN Batang Kali diletakkan muka baharu, Datuk Mohd Isa Abu Kasim menggantikan Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Sungai Burong (Mohamad Khir Ramli ganti Datuk Mohd Shamsudin Lias), Jeram juga muka baharu, Datuk Jahaya Ibrahim.
Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang pertama kali bertanding diletakkan di Kuang, Gombak Setia kekal Datuk Megat Zulkarnain Omardin, manakala Datuk Johan Abd. Aziz yang pernah menang kerusi DUN Semenyih PRU13 diletakkan di Dusun Tua.
Tempat Johan digantikan muka baharu, Wan Zulaika Anua, manakala DUN Sijangkang, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar (muka baharu), Selat Klang (Datuk Roslee Abd. Hamid) dan Dengkil (Noorazli Said).
Parti Amanah menampilkan sekurang-kurangnya enam muka baharu iaitu Samad Hashim di DUN Sabak, Anfaal Shaari (Taman Templer), Danial Al Rasyid (Batu Tiga), yang mana penyandang DUN berkenaan yang juga bekas Exco, Rodziah Ismail digugurkan.
Seorang lagi bekas Exco, Dr. Siti Mariah Mahmud juga digugurkan apabila tempatnya di DUN Seri Serdang diberi peluang kepada muka baharu, Abbas Salimi Azmi.
Amanah turut mengekalkan, Ir. Izham Hashim di DUN Pandan Indah, Mohd Amran Mohd Sakir (Hulu Bernam), Mazwan Johar (Sungai Ramal), Mariam Abdul Rashid (Meru) dan Hasnul Baharudin (Morib).
Sehingga kini, empat parti iaitu tiga dari PN dan satu dari PH belum mengumumkan nama calon, yang dipercayai dilakukan mereka dalam waktu terdekat.
Pertempuran sengit dijangka berlaku PRN kali ini, apabila gelombang politik selepas PRU15 November tahun lalu menyaksikan PN mendapat jumlah kerusi di luar ramalan penganalisis.
Namun, atas kebijaksanaan pucuk pimpinan parti masing-masing, diyakini calon mereka walaupun muka baharu, bukan calang-calang orang. – MalaysiaGazette
PN akan umum
sabar sabar sabar
kenapa UMNO campur BN di beri ciput? DAP adalah ABANG BESAR Zahid Hamidi… Zahid Zahid Zahid… dah tempah ticket ke???