Wee Ka Siong bersama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengimbau kembali memori perkenalannya dengan Allayarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sekitar tahun 2004.

Kata Ka Siong, ketika itu beliau bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bersama-sama memasuki Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

“Takziah buat ahli keluarga kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang telah meninggal dunia sebentar tadi.

“Saya mengenali Allahyarham pada tahun 2004 ketika kami bersama-sama menjejak kaki memasuki Dewan Rakyat selepas PRU11. Beliau adalah MP Kubang Kerian yang berasal dari Pontian Johor.

“Beliau juga adalah bekas pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) yang kini telah dinaiktaraf sebagai TARUMT. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya dalam laman media sosial.

Kata Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam, segala jasa dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat serta negara pasti dikenang sampai bila-bila.

“Pemergian allahyarham yang juga Ahli Parlimen Pulai merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat khususnya di negeri Johor,” ujarnya. -MalaysiaGazette