Sofyan Amrabat. Foto BBC.

LONDON – Manchester United dilaporkan telah mengenal pasti Sofyan Amrabat sebagai dijadikan sasaran mereka untuk mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh Fred, kata Fabrizio Romano.

Pakar perpindahan bola sepak itu berkata, pemain antarabangsa Maghribi itu dinilai sebagai salah satu daripada tiga pilihan yang sedang dipertimbangkan United untuk memperkuatkan lagi bahagian tengah United.

“Fiorentina dilaporkan bersedia melepaskan pemain itu pada musim panas ini dan mereka juga dilaporkan telah meletakkan harga bernilai €35-40 juta Euro untuk pemain tengah berusia 26 tahun ini.

“Meskipun begitu setakat ini keutamaan Manchester United adalah menandatangani penyerang baharu dan juga menjual beberapa pemain pinggiran sebelum melakukan pergerakkan terhadap sasaran lain,” tulisnya di media sosial.

Sementara itu, Romano yakin Fred yang juga pemain tengah antarabangsa Brazil kemungkinan besar akan meninggalkan United pada musim panas ini.

Sementara itu, Fred telah bermain 35 kali dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu dan turun dalam kesebelasan utama ketika United tewas 2-1 di final Piala FA kepada Manchester City.

Musim ini merupakan kempen terbaik pemain berusia 30 tahun itu daripada segi penampilan dengan 56 perlawanan merentasi semua pertandingan.

Namun kehadiran bekas pemain serba boleh Chelsea, Mason Mount akan menjadi penghalang terbesar untuk dirinya menjadi pemain utama di posisi tengah United musim baharu nanti. – Agensi