Gambar hiasan

SEBENARNYA penyakit sopak bukan merupakan sesuatu yang baru kepada kita namun realitinya kita seringkan dimomokkan dengan beberapa mitos seperti sumpahan keturunan angkara menganiaya gagak.

Dakwah mitos itu kerana menganiaya gagak menyebabkan keturunannya ditimpa bala iaitu kulit menjadi putih iaitu simbolik kepada penghinaan terhadap burung itu yang berwarna hitam.

Hakikatnya, penyakit sopak atau lebih dikenali Vitiligo ialah penyakit kulit yang dihadapi kira-kira dua peratus penduduk di seluruh dunia.

Realitinya punca sebenar penyakit itu masih misteri kerana tiada pakar perubatan yang mampu merungkai punca sopak.

Pakar Dermatologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad berkata, sopak berpunca kerana masalah pigmentasi kulit menyebabkan tompok-tompok putih pada bahagian badan dengan sebaran secara simetri pada kulit manusia.

Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad

“Kebiasaannya, ia berpunca kerana masalah pigmentasi iaitu sel yang menghasilkan pigmen iaitu melanosit telah dirosakkan oleh antibodi yang dihasilkan oleh pesakit itu sendiri. Kemusnahan melanosit akan menjejaskan penghasilan pigmen di kawasan yang itu menyebabkan kulit tiada pigmen (warna).

“Sopak dikaitkan dengan penyakit autoimun seperti tiroid, pernicious anemia dan penyakit Addison,” kata Dr Wan Syameen.

Dalam pada itu, sopak sebenarnya terbahagi kepada lima iaitu umum (generalized), setempat (local), bersegmen (segmental), acrofacial dan umum (universal).

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Wan Syameen memberitahu pesakit yang menghidap sopak akan mempunyai tompok-tompok putih pada kulit malah ada sesetengah terdapat tompokan putih di kening, bulu roma dan rambut bertukar menjadi putih.

“Ia penyakit kulit yang hanya menukar warna tetapi tidak memberikan kesan sampingan lain seperti sakit atau gatal kepada penghidapnya.

“Ramai yang beranggapan penyakit ini berjangkit tetapi hakikatnya ia bukanlah suatu penyakit berjangkit atau pun boleh mengancam nyawa,” ujarnya.

Antara individu terkenal yang menghidap penyakit sopak termasuklah;

– Jon Hamm
– Michael Jackson
– Amitabh Bachchan
– Winnie Harlow
– Krizz Kaliko

Kaedah rawatan

1. Jika kecil dan tidak banyak, pesakit biasanya akan diberikan pelindung matahari untuk melindungi kulit yang bertompok itu daripada kesan terbakar dan luka.

2. Pesakit sopak juga selalunya disaran menggunakan kosmetik atau pewarna kulit bagi menutupi kawasan sopak bagi mengatasi perasaan malu berjumpa masyarakat dan mengurangkan tekanan perasaan.

3. Jika pesakit dalam kategori sopak setempat, rawatan yang sesuai ialah rawatan topikal yang bermaksud setempat iaitu ubat digunakan secara langsung pada bahagian yang bermasalah.

4. Rawatan lain ialah pelunturan pigmentasi iaitu melunturkan kulit biasa (normal) namun hanya dipertimbangkan apabila kaedah rawatan lain tidak berkesan. Sebanyak 20 peratus monobenzylether hydroquinone digunakan pada kulit sehingga kulit luntur.

5. Bagi pesakit sopak umum rawatan yang sering disarankan ialah rawatan fototerapi atau rawatan menggunakan pancaran cahaya ultra violet.

6. Rawatan fototerapi atau rawatan cahaya yang digunakan sekarang ialah cahaya narrow band uvb. Ia berkesan dan selamat.

7. Kebanyakan pesakit kini menggunakan rawatan kosmetik seperti laser eksimer yang terbukti meningkatkan pencapaian klinikal dan boleh merawat tompokan sopak tanpa menjejaskan bahagian yang tidak terlibat.

8. Rawatan secara pembedahan juga boleh dijalanka yang melibatka membabitkan kaedah pemindahan sel kulit atau melanosit yang diambil daripada kulit normal pesakit itu sendiri namun kaedah pemindahan sel atau kulit ini memerlukan kepakaran dan belanja yang mahal. – MalaysiaGazette