Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam nahas jalan raya di Bandar Dua, Paloh Hinai, Pekan pagi tadi. Gambar : JBPM Pahang

KUANTAN – Tiga individu maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuantan – Segamat di  Bandar Dua, Paloh Hinai, Pekan pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.07 pagi.

Beliau berkata, seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan BBP Pekan dikejarkan ke lokasi kejadian yang melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi, Perodua Alza dan Toyota Vios.

“Setiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan 14 mangsa di mana terdapat dua mangsa lelaki dewasa tersepit dalam kereta Perodua Myvi dan Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan.

Salah sebuah kereta remuk teruk selepas terlibat kemalangan maut di Jalan Kuantan-Segamat pagi tadi

Jelas beliau, pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat namun, pemandu Perodua Myvi itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.

Selain itu, dua warga emas yang merupakan penumpang Toyota Vios turut disahkan meninggal dunia akibat kemalangan terbabit.

Ketiga-tiga jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Zulfadli, tiga daripada penumpang Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala lapan mangsa yang lain dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan susulan. – MalaysiaGazette