KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) percaya kemungkinan empat lagi kru teperangkap dalam kapal kargo, MV Tung Sung yang karam dan terbalik di perairan Subuyau, Sarawak, pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut berdasarkan beberapa petunjuk dan akan meneruskan operasi dan menyelamat (CARILAMAT) di sekitar lokasi kejadian.
Justeru, katanya, usaha mengesan mangsa yang masih hilang itu masih giat dilaksanakan menggunakan aset laut dan udara.
“Esok, pihak ejen kapal berkenaan akan mula melakukan operasi membuka kapal itu kerana ia sudah terbalik,” katanya pada sidang media Penutup Op MARDOF di Pejabat Maritim Terengganu. di sini, hari ini.
Kapal MV Tung Sung yang belayar dari Kuching ke Sarikei dengan lapan kru dipercayai terbalik selepas dibadai ombak kuat dan angin kencang.
Empat daripada lapan kru kapal tersebut yang dilaporkan hilang selepas kejadian itu ditemukan lemas dalam keadaan terapung oleh nelayan pada jarak kira-kira 15 batu nautika dari arah Timur Laut dari Pulau Burung, semalam.
Dalam kejadian tersebut, lapan kru berusia antara 20 hingga 53 tahun hilang adalah terdiri daripada tiga warga tempatan, empat Myanmar dan seorang warga Indonesia.
Dalam perkembangan lain, Hamid berkata menerusi Op MARDOF yang dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Perikanan telah berjaya menahan 36 bot warga tempatan dan nelayan asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, turut ditahan 103 individu termasuk 39 nelayan asing di lima sektor operasi iaitu Op MARDOF Barat, Op MARDOF Timur, Op MARDOF Sabah dan Labuan, Op MARDOF Sarawak dan Op MARDOF Utara.
“Nilai rampasan hasil ikan, bubu dan keroncong yang dilelong tidak termasuk bot ialah lebih RM100,000,” katanya. – Bernama