Mahkamah Tawau

KUALA LUMPUR – Perbicaran kes bunuh pemandu e-hailing di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau di Sabah akan berjalan serentak bermula Januari tahun depan.

Perkara berkenaan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan tersebut selepas kes terhadap bekas Ketua Perisikan ESSCOM,  Datuk Mat Zaki Md Zain bersama tujuh tertuduh disebut semula hari ini.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 2 hingga 5; 15 hingga 17; 22 hingga 26 dan 29 Januari hingga 2 Februari 2024.

Tarikh tambahan turut ditetapkan iaitu pada 19 hingga 23 Febuari; 4 hingga 8 Mac; 11 hingga 13; 25 hingga 28 Mac; 1 hingga 4 dan 22 hingga 26 April 2024.

Sebagai rekod, pendakwaan kes berkenaan diketuai Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat dan Low Qin Hui.

Sementara itu, mahkamah  hari ini turut dimaklumkan seramai 25 sehingga 30 saksi pendakwaan termasuk tiga hingga empat orang pakar akan dipanggil sepanjang perbicaraan.

Terdahulu pada 8 Febuari lalu, enam anggota polis termasuk seorang awam dituduh membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Tiga hari kemudian, seorang lagi anggota polis, John Kennedy Sanggah turut didakwa atas pertuduhan yang sama.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain membunuh, Mat Zaki juga didakwa kerana bersubahat membunuh Nurman.- MalaysiaGazette