QUITO – Ecuador mengumumkan keadaan darurat di tiga wilayah selepas kejadian tembakan menyebabkan dua orang maut, termasuk datuk bandar sebuah bandar utama.
Semasa mengumumkan langkah itu pada hari Isnin, Presiden Ecuador, Guillermo Lasso memberi penghormatan kepada dua mangsa, Agustín Intriago dan Ariana Estefanía Chanca.
“Tiada ibu yang perlu mengebumikan anak-anaknya dan tidak ada anak yang harus membesar tanpa ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi kerana serangan jenayah.
“Hari ini Ecuador sedang berkabung,” tulis Lasso di Twitter.
Lasso menambah, seorang suspek dalam tembakan itu telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan.
Tembakan berlaku pada Ahad menyebabkan Datuk Bandar Manta, maut.
Intriago, 38, telah memulakan penggal kedua sebagai datuk bandar pada bulan Mei lalu selepas dipilih semula pada Februari.
Chancay, pemain bola sepak muda untuk pasukan Las Dragonas, telah mendekati datuk bandar untuk bercakap turut maut akibat tembakan itu, menurut akhbar El Universo.
Empat individu lain juga cedera dalam serangan itu, ketika pegawai keselamatan yang berada berhampiran datuk bandar berbalas tembakan.
Setakat ini tidak diketahui motif tembakan itu.
Tembakan itu adalah jenayah berprofil tinggi di Ecuador, negara yang terus bergelut dengan keganasan kumpulan.
Hujung minggu lalu, menyaksikan pertempuran meletus di penjara La Litoral, penjara terbesar di negara ini.
Keganasan bermula pada petang Sabtu dan berterusan hingga hujung minggu, menyebabkan sekurang-kurangnya enam maut dan 11 cedera. – Agensi