KUALA LUMPUR – Penyanyi, Aina Abdul menerima semua teguran dan kritikan dilemparkan dengan hati terbuka selepas dikecam teruk gara-gara menggayakan busana pelik ketika menghadiri sebuah acara hiburan baru-baru ini.
Pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi perhatian terhadap jenis pakaian yang digayakannya pada acara tersebut.
“Selalunya saya jarang sekali meluahkan isi hati, saya di sini sentiasa kuat dan teguh. Namun hari ini (semalam), saya terpanggil mahu tulis sesuatu.
“Ya benar, saya ada melihat dan membaca semua teguran serta nasihat malah saya teliti, renungkan semua teguran yang diberi,” tulis dalam Instagram miliknya.
Pada masa sama, pelantun lagu Sumpah itu menghargai semua mesej positif serta sokongan yang dititipkan oleh segelintir individu buat dirinya.
Wanita berusia 29 tahun itu, dia akan berusaha memperbaiki diri dan mengubah pemakaiannya ke arah yang lebih baik.
“Terima kasih kepada semua kerana ambil berat, menegur untuk kebaikan dan meninggalkan mesej yang baik selain memberi sokongan. Saya hargai semuanya.
“Alhamdulillah, saya akan terus mencuba untuk menjadi yang lebih baik selepas ini okay,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, Aina menggayakan busana berbentuk blazer gergasi berona merah hati selebar empat kaki sewaktu berjalan di acara karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35).
Selang beberapa minit kemudian, penyanyi itu dilihat menukar busana pertama kepada konsep sekuntum bunga mawar merah besar di dada bersama ekor gaun yang meleret panjang.
Fesyen keterlaluan itu menarik perhatian ramai pihak termasuk pendakwah bebas yang tampil menegur gaya pakaian pelik atau ‘aneh’ golongan selebriti ketika menghadiri sesebuah acara.
Jelas pendakwah tersebut, pakaian pelik dan berlebih-lebih sebenarnya dilarang dalam Islam meskipun menutup aurat namun pakaian sedemikian dikategorikan sebagai libas al-Syurah iaitu pelik sehingga mengundang perhatian. – MalaysiaGazette