Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang bernilai RM7.49 juta dalam tujuh serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Taktik licik empat ahli sindiket menyewa dan menjadikan pangsapuri dan rumah teres sebagai makmal memproses dadah akhirnya terbongkar.

Lebih mengejutkan, sindiket berkenaan menjadikan lima wanita sebagai transporter bekalan dadah yang diperolehi dari negara jiran secara aktif sejak lebih setahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dadah seberat 177.75 kilogram bernilai RM7.94 juta dan sepucuk pistol jenis revolver dirampas dalam tujuh siri serbuan di sekitar negeri tersebut bermula pada 17 hingga 21 Julai  lalu.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Bertindak atas risikan dan aduan, polis telah melancarkan serbuan di tujuh kawasan antaranya Seri Kembangan, Putra Heights, Kota Damansara, Subang Jaya, Jinjang dan Rawang.

“Hasil serbuan berjaya membawa kepada tangkapan seramai lima wanita dan 11 lelaki berumur lingkungan 18 hingga 61 tahun dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai pengedar dan  transporter dadah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor petang ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukan sepucuk pistol jenis revolver selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang bernilai RM7.49 juta dalam tujuh serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

Tambah Hussein lagi, keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan seramai 2.823 juta penagih.

Antara dadah yang dirampas daripada sindiket itu adalah dadah jenis heroin seberat 1.32 kilogram, heroin base (26.77 kilogram), methaphatamine (37.57 kilogram), ganja(109 gram), pil eramin five(42.86 kilogram), kafein(26.85 kilogram) dan ketamin(42.28 kilogram).

“Turut dirampas adalah sepucuk pistol jenis revolver, peralatan serta bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan membawa masuk bekalan dadah itu dari negara jiran sebelum memprosesnya di pangsapuri dan rumah teres yang menjadi markas utama mereka untuk diedarkan di sekitar pasaran Lembah Klang.

“Satu daripada sindiket itu akan memainkan peranan memproses dadah di makmal yang disediakan dalam dua premis perumahan itu manakala tiga lagi sindiket pula akan memfokuskan tugas dari pengedaran barang terlarang itu yang mana lima wanita yang ditahan itu menjadi transporter dadah tersebut,” ujarnya.

Dalam serbuan sama, polis turut menyita 24 kenderaan termasuk jenis BMW dan Toyota MPV Alphard yang disyaki digunakan suspek selain rampasan barang kemas, tiga utas jam tangan mewah dan wang tunai RM1.24 juta disyaki hasil kegiatan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukan sepucuk pistol jenis revolver selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang bernilai RM7.49 juta dalam tujuh serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC). Semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya lagi.

Nilai keseluruhan melibatkan dadah, peralatan, kenderaan serta wang tunai yang dirampas berjumlah RM19.9 juta.

Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan siasatan diteruskan untuk menentukan pistol yang dirampas mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau kegunaan sindiket itu.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api(Penalti Lebih Berat) 1971 dan tindakan sitaan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Usaha mengesan saki baki suspek yang disyaki masih bebas akan diteruskan bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast