KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dihempap sebuah kontena dalam di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa, Klang, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil dipercayai hilang kawalan lalu terbabas lalu merempuh kontena yang terletak di tepi jalan.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.46 petang.
“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah kontena tanpa kepala yang dipercayai sedang memunggah barang semasa kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, selepas kenderaan mangsa merempuh kontena tersebut, keretanya dihempap kontena berkenaan menyebabkan mangsa tersepit.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong dan mengeluarkan mangsa yang telah mengambil masa 10 minit.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette