GEORGE TOWN –  Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang yang baharu.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke selepas nama Soon Hin digugurkan daripada senarai DAP Pulau Pinang sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), Ogos depan.

Selain itu, Anthony Loke juga memaklumkan Soon Hin akan dicalonkan di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)) akan datang.

Anthony Loke.

“Bagaimanapun, pelantikan Soon Hin sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang memerlukan sedikit masa kerana proses itu perlu melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Walaupun saya boleh mengesyorkan, ia mesti mendapat perkenan daripada Agong kerana jawatan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sangat istimewa.

“Jadi proses (pelantikan) itu akan berlaku cuma akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon-calon DAP Pulau Pinang dan Kedah di Hotel Jen di sini, hari ini.

Terdahulu, DAP Pulau Pinang mengumumkan 19 calon parti itu yang akan bertanding pada PRN15 dan mereka terdiri daripada 12 penyandang manakala tujuh calon muka baharu.

Bagi memberi laluan kepada muka baharu tujuh penyandang kerusi DUN Pulau Pinang telah digugurkan iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong). – MalaysiaGazette