Pengerusi Perikatan Nasional , Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Pengisytiharan Calon Calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Selangor untuk Pilihan Raya Negeri ke 15 di Taman Medan Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Sebaliknya, bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri akan bertanding di Hulu Klang dan bakal menyaingi Setiausaha Politik Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan malam ini.

Mohamed Azmin pernah menjadi ADUN Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada 2004 kepada calon BN.

Beliau kemudian berpindah ke Bukit Antarabangsa pada 2008 dan mempertahankan kawasan itu sehingga sehingga PRU14.

Mohd Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor menang kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dengan majoriti lebih 25,000.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman Idham yang akan mempertahankan kerusi Gombak Setia sekali gus berdepan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Anak bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar iaitu Nurul Syaz­wani bertanding di Permatang.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT), Muhammad Fazil Mohd Dali atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Ton pula bertanding di Pandan Indah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos dan Hari Mengundi pada 12 Ogos depan. – MalaysiaGazette