KUALA LUMPUR – Hakim yang sedang mendengar perbicaraan berprofil tinggi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Collin Lawrence Sequerah mengakui pernah menjadi rakan kongsi dengan peguam, Jasmine Loo Ai Swan.
Jasmine merupakan bekas peguam 1MDB yang melarikan diri ke luar negara beberapa tahun selepas terbongkarnya kes berprofil tinggi itu kini ditahan untuk membantu siasatan.
Hari ini, Collin membuat pendedahan itu selepas peguam yang mengetuai pembelaan mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee melontar persoalan adakah pendakwaan bercadang untuk memanggil Jasmine yang kini berada di Malaysia.
Kata hakim itu, Jasmine dan dirinya pernah bekerja di guaman Zain & Co kira-kira 10 hingga 15 tahun lepas namun peguam wanita itu telah meninggalkan firma tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pasukannya belum mendapat sebarang arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara tersebut.
Perbicaraan bersambung ketika ini dengan saksi ke-44, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai sedang disoal balas oleh Muhammad Shafee.
Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam sidang media bulan lepas berkata, Jasmine ditahan di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. -MalaysiaGazette