Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia X Bhd (AirAsia X) mencatatkan kapasiti tempat duduk  yang meningkat lebih 26 kali tahun ke tahun (y-o-y) kepada 818,422 tempat duduk pada suku kedua 2023 (S2 2023) daripada 30,537 tempat duduk pada suku kedua 2022 (S2 2022).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, peningkatan itu disebabkan oleh pesawat tambahan yang dibawa masuk ke dalam perkhidmatan dan pengembangan rangkaiannya.

“Syarikat juga telah menunjukkan peningkatan operasi yang ketara merentas semua metrik utama lain, mencapai faktor muatan penumpang (PLF) sebanyak 76 peratus pada S2 2023, berbanding 29 peratus pada S2 2022,” katanya.

AirAsia X melaporkan operasinya telah kembali normal sejak 12 bulan lalu, memandangkan kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) meningkat 25 kali dari tahun ke tahun kepada 3.51 bilion.

Selain itu, ia berkata bilangan penumpang yang dibawa meningkat sebanyak 70 kali setahun kepada 621,984 pada S2 2023.

Dalam tempoh yang sama, syarikat bersekutunya, AirAsia X Thailand mencatatkan peningkatan bilangan penumpang lebih 28 kali tahun ke tahun kepada 311,337, manakala kapasiti ASK meningkat sebanyak 44 kali dari tahun ke tahun kepada 1.80 bilion pada S2 2023.

“Semasa suku kajian, AirAsia X melancarkan penerbangan ke Bangkok, Beijing dan Gold Coast, selain meningkatkan kekerapannya untuk terbang setiap hari (tujuh kali seminggu) ke Sydney, di antara Sydney dan Auckland serta ke Melbourne dan Osaka bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Di seluruh rangkaiannya, AirAsia X terus menyaksikan prestasi cemerlang lebih 85 peratus PLF untuk dua laluan terasnya, iaitu Tokyo dan Taipei,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast