KUALA LUMPUR – Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) mahu bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berikutan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pentaftaran pertubuhan itu.
Sekretariat MTC berkata, pihaknya telah bersungguh-sungguh menangani pertanyaan yang dikemukakan oleh RoS melalui temu bual dan surat rasmi sebelum ini.
“Sehubungan dengan itu, kami berharap diberi peluang untuk berjumpa dengan menteri dalam masa terdekat.
“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan perkara itu secara meluas dan mencari penyelesaian yang adil untuk memelihara intipati MTC dan peranan pentingnya dalam memajukan industri pelancongan Malaysia.
“Kami sangat percaya dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan kesucian perlembagaan kami. Adalah menjadi harapan kami bahawa kebenaran dan keadilan akan ditegakkan,” katanya.
Media hari ini melaporkan, RoS membatalkan pendaftaran MTC selepas didapati melanggar perlembagaan dan isu tadbir urus pertubuhan.
Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad, menjelaskan pembatalan terhadap MTC itu dibuat selaras Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Sekretariat MTC mendakwa, pembatalan pertubuhan itu didalangi motif tersembunyi sesetengah pihak biar pun pengurusan dan jawatankuasa eksekutifnya komited mematuhi garis panduan pendaftaran yang ditetapkan.
Beliau mendakwa, keputusan RoS membuktikan bahawa pihak terbabit mempunyai niat jahat.
Tambahnya, ketika negara berhadapan dengan krisis Covid-19 dan penutupan sempadan, MTC telah memainkan peranan penting dalam memastikan indistri pelancongan tetap berdaya maju.
Bekas Setiausaha Agung MTC, Datuk Noorzaleha Baharuddin dalam kenyataan hari ini berkata, RoS telah membatalkan pendaftaran MTC berkuatkuasa Khamis lalu.
Noorzaleha berkata, pembatalan itu dibuat selepas RoS mendapati MTC dengan sengaja melakukan kesalahan bertentangan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk kesalahan dilakukan MTC yang menyebabkan RoS membatalkan pertubuhan berkenaan.
Pada 22 Oktober lalu, Presiden MTC, Uzaidi Udanis dilapor menamatkan keahlian Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) secara tiba-tiba tanpa menyatakan alasan kukuh.
Rentetan itu, MATA mengemukakan aduan rasmi kepada RoS, menggesa jabatan berkenaan membuat siasatan berhubung tindakan terbabit, pada 6 Januari lalu.
Difahamkan, RoS menerusi hasil siasatan itu mengeluarkan notis Seksyen 31(2) Akta Pertubuhan kepada MTC kerana dengan sengaja melanggar perlembagaan berdaftar.
Ini kerana, penamatan keahlian MATA dikatakan menyalahi undang-undang serta tidak mengikut peraturan, selain MTC turut didakwa melakukan tujuh pertuduhan lain, antaranya menukarkan pihak tidak diiktiraf untuk menandatangani cek pertubuhan itu. – MalaysiaGazette