KUALA LUMPUR – Netizen mengesyaki pelawak kelahiran Singapura Jocelyn Chia mendaftar satu akaun Twitter di bawah nama bapanya ‘Anthony Chia Whye Liang’.
Akuan tersebut didaftarkan pada bulan ini dengan setakat ini hanya mempunyai 30 orang pengikut.
Satu daripada ciapan daripada akaun ‘bapa’ Jocelyn tersebut mendakwa telah membuang pelawak berkenaan daripada keluarga susulan beberapa kontroversi yang dicetuskan sebelum ini.
“Jocelyn tweet ke ni? Apa sahaja untuk pengaruh,” kata Zaid.
“Baca boleh, percaya jangan,” sindir Mimo.
“Cubaan yang bagus Jocelyn,” komen Coldbrew.
“Is that really the dad (Betul ke ayah dia)? soal TehatUFCGuy.
“Ha ha ha join July 2023, buat Twitter semata-mata clout (pengaruh),” kata Sara Alwani.
Dalam ciapan tersebut “bapa” pelawak itu, Anthony Chia Whye Liang mengumumkan dia dan isterinya, tidak mengiktiraf Jocelyn sebagai anak sehingga mereka meninggal dunia.
Kata “bapa” tersebut kontroversi demi kontroversi yang dicetuskan Jocelyn menyebabkan keluarganya tidak tahan.
“Perbuatannya menunjukkan saya gagal membesarkan dia menjadi manusia yang lebih baik untuk masyarakat. Masyarakat berhak dapat lebih baik daripada ini,” kata “bapa” Jocelyn.
Pelawak wanita itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menjadikan topik kehilangan pesawat penerbangan Malaysia, MH370 sebagai bahan jenaka dalam satu persembahan komedi di Amerika Syarikat, Jun lalu.
Tindakannya itu dikecam pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif dengan perasaan keluarga mangsa yang masih bersedih dengan tragedi itu.
Berikutan itu media sosial Jocelyn menjadi sasaran cemuhan dan digantung hingga menyebabkan beliau terpaksa membuat akaun baharu.
Sebelum ini wanita itu turut membuat ‘jenaka’ kononnya akan mengadakan persembahan ‘Jelajah Minta Maaf’ di Live House Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Beliau berkongsi poster mengenai promosi persembahan tersebut di media sosial.
Bagaimanapun Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak menerima dan meluluskan sebarang permohonan persembahan tersebut.-MalaysiaGazette