ISU gangguan seksual merupakan isu yang sudah lama dibincangkan dalam kalangan masyarakat dan cukup sinonim dikaitkan banyak berlaku di tempat kerja.
Ia adalah rahsia terbuka yang semua orang tahu dan akui serta tidak mudah untuk ditangani.
Tambahan pula apabila kaum wanita mula berada dalam dunia pekerjaan sejak 1970-an, semenjak itulah kaum wanita sering menjadi mangsa dan topik utama kepada gangguan seksual ini.
Hakikatnya budaya kerja di organisasi banyak melibatkan pergaulan atau interaksi merentasi jantina sememangnya tidak dapat dielakkan dan proses interaksi itu pula akan melibatkan indvidu yang mempunyai perbezaan latar belakang, budaya dan fahaman.
Dengan kewujudan kepelbagaian dalam aspek-aspek tersebut, di sinilah punca kepada permasalahan tersebut terjadi kerana setiap percakapan mahupun tingkah laku kepada rakan sekerja boleh mencetuskan kepada satu perasaan tidak selesa atau rasa terganggu yang secara umumnya dianggap sebagai gangguan seksual.
Perlu disedari dan diambil perhatian serius bahawasanya perbuatan gangguan seksual ini adalah satu perlakuan tidak bermoral dan kebiasannya perlakuan ini dilakukan oleh individu yang lebih berkuasa dan mengalami ketidaksejahteraan psikologi.
Kelompok ini biasanya mengalami permasalahan hidup, keluarga dan perhubungan yang kurang stabil. Tinjauan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 juga memberi dapatan yang menggusarkan apabila didapati lebih satu daripada lima orang yang bekerja di seluruh dunia alami beberapa bentuk gangguan atau keganasan di tempat kerja.
Di Malaysia, maklumat berkenaan gangguan seksual adalah tidak secara menyeluruh tetapi isu ini sering dibincangkan di dalam media sosial, media massa dan juga forum.
Jika merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 : Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja, gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, atas sebab yang munasabah setelah mengambil kira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung, terhina atau terugut.
Gangguan seksual boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina. Tetapi secara dominannya ia dialami oleh golongan wanita kerana sifat semula jadi wanita itu sendiri yang emosional, pasif dan lemah dibandingkan dengan lelaki yang dilihat mempunyai kelebihan dari aspek kekuatan fizikal, berdikari dan daya saing yang tinggi. Satu kajian pada 2001 menunjukkan bahawa antara 42 peratus hingga 70 peratus pekerja wanita di negara ini telah mengalami gangguan seksual.
Lebih menyedihkan lagi sebahagian besar mangsa tidak mahu membuat laporan kepada pihak atasan atau agensi penguatkuasaan yang berkaitan disebabkan perasaan malu, trauma dan mahu menjaga maruah diri.
Dapatan soal selidik yang dibuat oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pada 2019 terhadap 28,852 responden berusia 21 hingga 40 mendapati hanya 1,796 atau 6.3 peratus responden membuat laporan jika menerima gangguan seksual manakala majoriti daripadanya atau 93.7 peratus memilih tidak membuat laporan.
Gangguan seksual tidak seharusnya dipandang enteng dan dibiarkan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada mangsa yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma, fobia, ketakutan dan menjejaskan rutin harian.
Kesan rantaian yang lain adalah ia turut menjejaskan produktiviti dan keberhasilan kerja individu berkenaan malah memberi reputasi dan imej yang buruk kepada majikan.
Menurut sebuah kajian yang dijalankan ke atas 262 orang wanita, hampir 75% mengakui insiden gangguan seksual di tempat kerja dapat mempengaruhi produktiviti kerja mereka.
Bukan itu sahaja, mereka juga rasa takut dan tidak selamat di tempat kerja masing-masing.
Dek kerana itulah, masyarakat melahirkan kelegaan apabila Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) diwartakan secara rasmi pada 18 Oktober 2022 selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong telah mula dikuatkuasakan secara berperingkat pada tahun ini.
Sebelum itu, Akta 840 ini terlebih dahulu diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 selepas mula digubal pada 2011.
Ia sememangnya satu akta yang sekian lama ditunggu-tunggu kerana selama ini tiada undang-undang yang khas dan spesifik di Malaysia yang mengawal selia kesalahan-kesalahan berkenaan gangguan seksual.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) secara berperingkat iaitu membabitkan takrifan gangguan seksual, elemen kesedaran dan pencegahan mengenai gangguan seksual kepada masyaraka terlebih dahulu. Ia mengambil kira kepentingan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat mengenai betapa seriusnya isu yang membabitkan gangguan seksual sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya.
Semua pihak perlu memanfaatkan dan menguatkuasakan Akta 840 ini dengan sebaik-baiknya agar pelaku gangguan seksual tidak terus dibiarkan dan mangsa pula usah takut lagi untuk ke depan dan melawan.
Penulis adalah Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS).
Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadinya.