Ibrahim dalam sidang media di pejabat Putra di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini secara bersendirian.

Sebaliknya, Presiden parti itu, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, Putra lebih menumpu kepada membuat persiapan secara agresif untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) empat tahun akan datang.

“Putra baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat Biro Politik membincangkan keputusan parti mengenai PRN di enam negeri yang akan bermula dengan Penamaan Calon Sabtu ini.

“Sebelum buat keputusan, Putra telah menubuhkan jawatankuasa kecil untuk membuat kajian dan mengemukakan laporan sama ada wajar atau tidak parti turut serta dalam PRN Ogos ini.

“Di kalangan ahli Putra ada yang bersemangat hendak bertanding sehingga sanggup membiayai menggunakan duit poket sendiri seperti di PRN Melaka, Johor dan PRU15 baru-baru ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Putra, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ada sebuah parti telah mempelawa Putra untuk bersama mereka.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mendapat jawapan secara rasmi sama ada benar atau tidak tawaran itu.

“Ia hanya ura-ura. Tetapi, kalau betul tawaran ini diberikan kepada Putra untuk bersama mereka, kita akan lihat apakah bentuk tawaran itu.

“Kalau bermanfaat dan boleh beri lonjakan kepada Putra, kita akan buat pertimbangan sewajarnya.

“Namun, keputusannya kita belum dapat lagi, tetapi saya dimaklumkan mungkin petang ini,” katanya.

Ibrahim berkata, tawaran itu tidak menjadi persoalan kepada Putra kerana pokoknya parti itu sudah membuat keputusan untuk tidak akan bertandig secara solo.

Mengenai ahli Putra yang menyatakan hasrat mahu bertanding PRN ini, kata beliau, ia seramai 17 orang iaitu enam di Selangor, lima di Kelantan, masing-masing dua di Kedah dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.

“Saya sudah bertemu dua kali dengan mereka untuk bertukar pendapat dan memberi pandangan terutama mengenai hasil mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra sebelum ini.

“Dalam mesyuarat itu, saya tekankan kepada mereka mengenai keputusan dan mandat ADT untuk tidak akan menyertrai PRN secara bersendirian.

“Saya maklumkan kepada mereka, kita tidak akan menyertai atas beberapa sebab antaranya kita belum lagi mempunyai kekuatan yang cukup kerana Putra parti yang baru bergerak selepas pasca Covid-19,” kata beliau.

Beliau berkata, penyertaan Putra dalam PRN Melaka, Johor dan PRU15 sebelum ini sekadar memperkenalkan diri dengan tidak ada apa-apa kekuatan dan akar umbi yang cukup termasuk jentera pilihan raya.

“Selepas itu, saya percaya rakyat sudah kenal Putra, tetapi untuk menyertai pilihan raya seterusnya sudah sampai masanya kita mesti istiqamah dan buat keputusan strategik iaitu matlamat Putra ialah PRU16.

“Mengambil kira keputusan ini, kita merasa tidak ada keperluan untuk Putra bertanding, maka lebih baik kita tumpu secara agresif membuat persiapan hadapi PRU16.

“Saya harap kepada bakal calon dari Putra yang berhasrat untuk bertanding PRN ini dapat bersabar. Tunggu PRU16 akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast