Norliza Abdul Rahim (empat dari kiri) bergambar bersama pelajar Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin di UiTM Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang diwujudkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak tahun 2022
bertujuan untuk meringankan beban kewangan mahasiswa dalam tempoh pengajian di universiti diteruskan lagi tahun ini.

Di bawah bantuan ini, setiap pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM500 secara one off yang telah disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

Bagi memastikan pelaksanaan program ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati kumpulan sasaran yang ditetapkan, PTPTN telah mengadakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, agensi itu telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.

Justeru, program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar dalam tempoh pengajian di universiti.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT. Jadikan bantuan ini sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Julai 2023 melibatkan sumbangan berjumlah RM81,500 kepada seramai 163 pelajar yang kurang berkemampuan.

Manakala pada 18 Julai 2023 pula, Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam melibatkan bantuan kepada 291 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM145,500.

“Kita berharap inisiatif Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ini akan memberikan impak positif dan manfaat kepada para pelajar seterusnya membina lebih ramai graduan cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast