Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiriingi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan menteri kabinet menerima risalah Ekonomi Madani sebagai gimik Peluncuran Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kadar bayaran gaji separuh dari jumlah keseluruhan tenaga kerja tempatan di negara ini masih kurang dengan pendapatan sebanyak RM2,250 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemelut bayaran gaji yang rendah sejak tiga tahun lalu itu kebanyakannya melibatkan golongan muda termasuk graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

“Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 mendedahkan kemelut akibat gaji yang rendah, khususnya menyangkut golongan muda berumur 24 tahun ke bawah.

“Gaji bagi separuh pekerja Malaysia kurang daripada RM2,250 sebulan. Belia khususnya graduan berhak meraih pendapatan bermakna.

“Keadaan ini tentunya mengkhawatirkan dan negara yang bertanggungjawab perlu merangka program bagi mengatasinya,” katanya berucap pada peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tambah Perdana Menteri, kemelut gaji yang rendah itu akibat daripada keretakan struktur ekonomi dan kelemahan tata kelola serta ketelanjuran elit pemerintah sebelum ini.

“Ia menuntut kita melakukan perubahan atau anjakan yang bermakna.

“Amat dikesalkan andai kata terdapat kalangan yang mahu mempertahankan amalan bobrok dan dasar yang telah terbukti menyebabkan negara menggelongsor ke bawah atau hampir kecundang,” katanya.

Perdana Menteri mengajak semua pihak baik pimpinan politik, pemain industri, penjawat awam dan rakyat lebih jujur dan berani menerima kenyataan baharu.

“Kita perlukan sebuah wadah ekonomi yang tuntas dan segar. Kita perlukan sebuah kerangka ekonomi yang baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette