SHAH ALAM – Kementerian Kewangan bersedia melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada kira-kira 10 juta rakyat bawah kategori B40 dan M40.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemberian kredit e-tunai itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
“Ketika ini Kementerian Kewangan sedang menyelesaikan pemberian RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.
“Selepas itu, kita meneruskan pemberian kredit e-tunai kepada 10 juta rakyat B40 dan M40 yang berpendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun.
“Pada masa sama, kita juga hampir selesai memberikan RM200 kepada dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun dan mereka yang berada dalam institusi pendidikan secara sepenuh masa, melibatkan peruntukan kira-kira RM400 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis MoU Aplikasi Lulus bersama CTOS Berhad dan Celcom Digi Berhad di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pagi tadi, Anwar melancarkan “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di ibu kota.
Dalam pada itu Ahmad menyambut baik MoU tiga pihak berkenaan, yang secara tidak langsung menyahut saranan Perdana Menteri yang menggalakkan aplikasi pendigitalan sebagai rangkaian yang diterajui industri.
Katanya, MoU itu juga sesuai dengan konsep Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat.
Ditanya mengenai kredit e-tunai, beliau menjelaskan, pelaksanaannya sebagai usaha baik kerajaan untuk melatih rakyat berhadapan dengan masyarakat tanpa tunai.
“Dengan pelaksanaan konsep ini, rakyat akan menggunakan segala aplikasi dalam perbelanjaan mereka.
“Ini juga sedikit sebanyak membantu perbelanjaan rakyat bagi berhadapan dengan ekonomi masa depan iaitu eonomi digital dan masyarakat tanpa tunai, di samping untuk memperkembangkan ekonomi setempat.
“Apabila mereka berbelanja, maka ekonomi di kawasan itu akan berkembang. Ini antara puluhan perkara yang diumumkan Perdana Menteri pagi tadi. Saya hanya menyentuh sedikit sahaja,” katanya.
Ahmad turut menjelaskan mengenai tiga perkara utama disentuh Anwar iaitu pertama, kerajaan hendak menjadi peneraju ekonomi asia, kedua, meningkatkan ekonomi rakyat dan ketiga, semua perkara itu hendaklah berlandaskan Konsep Madani. – MalaysiaGazette