Mesyuarat Agung Luar Biasa MBSB yang diadakan pada hari ini.

KUALA LUMPUR РPemegang Saham Malaysia Building Society Berhad (MBSB) hari ini meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan  Industrial Development Finance Berhad (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada harga RM1.01 bilion.

Pertimbangan pembelian itu akan diselesaikan dengan terbitan 1.05 bilion saham MBSB pada RM0.9652 sesaham.

Berikutan cadangan pengambilalihan itu, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB dan PNB akan muncul sebagai pemegang saham besar MBSB dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78%.

Manakala pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB akan berkurangan daripada 65.87% kepada 57.45%.

Mengulas mengenai rasional penggabungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, penggabungan ini menarik secara strategik bagi kedua-dua kumpulan perbankan apabila semakin besar ia akan lebih berdaya tahan kewangan dengan kapasiti yang diperkukuh untuk bersaing dalam memasarkan melalui kunci kira-kira yang lebih besar, capaian pelanggan yang lebih luas dan keupayaan penawaran produk yang dipertingkatkan.

MIDF ialah pemain utama dalam perbankan pelaburan, pengurusan aset dan pakar dalam pembangunan memfokuskan kewangan terutamanya dalam pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sejak penubuhannya pada tahun 1960, MIDF telah mengembangkan francais perbankan pelaburannya dan membangunkan keupayaan khusus untuk menawarkan rangkaian penuh perbankan pelaburan dan perkhidmatan berkaitan kepada pelanggan korporat dan individu bernilai tinggi.

Rafe menambah, penggabungan itu akan mengembangkan spektrum perbankan kumpulan ini.

“Akan ada pertindihan dalam asas pelanggan dan penawaran produk anak syarikat milik penuh MBSB, MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dengan MIDF.

“Oleh itu, kumpulan ini akan berada dalam kedudukan untuk menawarkan perkhidmatan perbankan lengkap, yang terdiri daripada Perbankan Pengguna, Pembrokeran Saham &
Pengurusan Aset, Perbankan Komersial, PKS & Kewangan Pembangunan serta Korporat
& Perbankan Pelaburan, sekali gus memberi perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih luas melangkaui MBSB Bank dan pelanggan sedia ada MIDF, ujarnya.

Kumpulan ini bakal dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui gabungan keupayaan digitalnya serta rangkaian 53 cawangan di seluruh negara, terdiri daripada 47 cawangan daripada MBSB Bank dan enam cawangan dari MIDF.

Melainkan keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada kelulusan yang bakal diperoleh, MBSB menjangka urus niaga ini dapat diselesaikan pada Ogos 2023. – MalaysiaGazette