LONDON – Penyanyi Ireland, Sinead O’Connor meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Menurut satu kenyataan, keluarga penyanyi itu berkata: “Dengan rasa dukacita kami mengumumkan kematian Sinead yang disayangi. Keluarga dan rakan-rakan beliau berdukacita dan memohon privasi dalam wakgtu yang sukar ini,”.

Penyanyi berasal dari Dubluin itu telah menghasilkan 10 album, manakala lagu ‘Nothing Compare 2U’ dinamakan single nombor satu dunia oleh Billboard Music Award pada 1990.

O’Connor mencetuskan pelbagai kontroversi sepanjang berkecimpung dalam dunia muzik.

Pada 1992, beliau mengoyakkan gambar Pope John Paul II pada program televisyen Amerika Syarikat ‘Saturday Night Live’ sebagai tanda protest terhadap penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Gereja Katolik.

“Saya tidak kesal melakukannya.Tetapi ia menimbulkan trauma,” katanya mengenai bantahan itu.

Sebelum itu, O’Connor memboikot Grammy Award dengan menyatakan beliau tidak mahu ‘menjadi sebahagian daripada dunia yang mengukur keupayaan seni menerusi kejayaan material’.

Beliau enggan lagu kebangsaan Amerika syarikat (AS) dimainkan pada konsertnya.

Penyanyi tersebut memeluk Islam pada 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada Sadaqat, namun tetap menggunakan nama asal ketika melakukan persembahan.

Pada 2021, O’Connor melancarkan memoir ‘Rememberings’ manakala pada tahun lalu sebuah flim mengenainya diarahkan Kathryn Ferguson.

Pada 12 Julai lalu, menerusi hantaran di laman Facebook, O’Connor mengumumkan beliau berpindah semula ke London bagi menghasilkan album yang dirancang dilancarkan pada awal tahun depan.

Penyanyi itu berkata, beliau merancang untuk melakukan jelajah Australia dan New Zealand menjelang 2024 diikuti Eropah, AS dan lokasi lain pada awal 2025.

Punca kematiannya masih belum diketahui.

O’Connor mempunyai tiga cahaya mata, anak lelaki beliau, Shane, meninggal dunia pada tahun lalu pada usia 17 tahun. – Agensi