Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mengingatkan semua pemimpin Proklamasi Orang Melayu untuk terus menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini tidak kira sama ada tersenarai bertanding ataupun tidak.

Pengerusi Mobilisasinya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, walaupun sudah beberapa kali berunding mengenai kerusi untuk calon-calon Proklamasi Orang Melayu namun pihaknya menghormati keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi PN.

“Sudah sampai masanya bagi keseluruhan orang-orang Melayu bersatu hati dan rapatkan saf perjuangan kita untuk memerangi kerajaan Madani.

“Pada PRU yang lepas hakikatnya orang-orang Melayu sudah bersatu padu dan ‘malay votes bank’ sudah diberikan pada PN.

“Tanggungjawab keseluruhan orang Melayu harus menguatkan kedudukan PN untuk lawan secara habis-habisan dengan falsafah liberalisma Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Khairuddin, semua pemimpin Proklamasi Orang Melayu akan terus berjuang dan bergading bahu bersama jentera PN untuk mengukuhkan kedudukan parti itu bagi menawan enam negeri pada PRN nanti.

Sementara itu, Khairuddin mendakwa masa depan orang Melayu dan Islam kini dalam keadaan yang mencabar kerana Kerajaan Madani lebih menitik beratkan kepada konsep kepelbagaian kaum.

“Orang-orang Melayu sukar lagi untuk berbicara dan membincangkan tentang penyatuan seterusnya menyelesaikan semua permasalahan bangsa Melayu.

“Bercakap mengenai ‘Melayu’ dianggap ‘rasis’ tetapi dalam masa yang sama hak orang-orang Melayu amat jelas termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Yang menghairankan kita tidak pernah menganjurkan unsur-unsur provokasi terhadap ‘3R’ tetapi Kerajaan Madani bersungguh-sungguh untuk menyekatkan segala pergerakan ataupun aktiviti Proklamasi Orang Melayu.

“Namun, hak kaum lain akan tetap dipelihara serta dihormati sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.