KUALA LUMPUR – Hasrat menjadikan Malaysia dalam kalangan 25 negara teratas dalam Indek Persepsi Rasuah (CPI) memerlukan komitmen yang tinggi.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia perlu diperhebatkan dengan langkah-langkah yang kukuh oleh kerajaan dalam melaksanakan reformasi bagi mengatasi isu rasuah secara menyeluruh.
Menurut beliau, adalah penting kerajaan memberi maklumat yang jelas tentang langkah-langkah yang akan diambil untuk mencapai matlamat tersebut.
“Ketelusan maklumat dalam melaksanakan proses reformasi ini perlu sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa bagi memastikan kesahihannya mengukur kemajuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jais mengulas mengenai hasrat yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika berucap merasmikan program Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, sokongan semua pihak amat penting bagi mencapai matlamat besar itu termasuk kerjasama dengan agensi antirasuah dan badan penguatkuasaan yang lain.
“Selain itu, peruntukan yang mencukupi perlu disediakan untuk menguatkuasakan undang-undang dan institusi dalam usaha memerangi rasuah,” jelasnya.
Jais memberitahu, penglibatan aktif masyarakat awam dan media amat penting untuk mengawasi serta menyemak tindakan kerajaan ataupun pihak berkuasa dalam melaksanakan usaha pencegahan rasuah.
“Kebebasan media dan ketelusan dalam mendedahkan isu rasuah dapat memastikan akauntabiliti yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan untuk mencapai matlamat tersebut akan diukur oleh tindakan yang diambil dan hasil yang diperoleh.
“Peningkatan dalam CPI perlu disokong oleh data dan bukti yang jelas mengenai penurunan rasuah secara nyata dalam pelbagai bidang, seperti dalam sektor awam, sektor swasta dan institusi berkepentingan,” jelasnya. – MalaysiaGazette