SHAH ALAM – Tiga syarikat memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama strategik untuk menawarkan perkhidmatan kewangan secara inovatif kepada rakyat Malaysia.
Syarikat Erbe World, CTOS dan CelcomDigi itu akan memainkan peranan untuk mengubah landskap perkhidmatan kewangan negara menerusi aplikasi diperkenalkan iaitu LULUS.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Erbe World, Datuk Muhammad Amir, walaupun MoU itu membawa bersama tiga entiti berbeza, tetapi masing-masing berkongsi hasrat yang sama untuk mengubah landskap perkhidmatan kewangan di Malaysia.
“Perjanjian ini adalah titik tolak yang penting dalam perjalanan kami untuk merevolusikan industri kewangan di Malaysia.
“Kami bersama membina hubungan strategik yang kuat untuk mengintegrasikan teknologi canggih dan pengetahuan industri yang meluas.
“Kerjasama strategik ini akan membolehkan kami menyediakan perkhidmatan laporan kelayakan pinjaman yang lebih tepat, efisien dan mudah diakses kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas majlis MoU bersama Erbe World, CTOS dan CelcomDigi di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut menyaksikan MoU itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut Muhammad, kerjasama tiga syarikat itu menandakan sokongan mereka terhadap perjanjian strategik dan pengiktirafan terhadap nilai serta potensi perkhidmatan kewangan inovatif yang ditawarkan menerusi aplikasi LULUS.
Katanya, sokongan dan pengiktirafan Kementerian Kewangan terhadap tiga syarikat itu penting dalam mempercepatkan pertumbuhan dan kejayaan perkhidmatan kewangan yang inovatif dan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama dengan rakan industri yang berpengalaman ini adalah penting bagi kami dalam mencapai matlamat untuk merevolusikan industri kewangan di Malaysia.
“Dalam era digital yang semakin pesat ini, teknologi dan komunikasi telah menjadi teras kehidupan harian kita.
“Perubahan yang disebabkan oleh kemajuan teknologi mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan, termasuk perkhidmatan perbankan dan kewangan,” katanya.
Katanya, dalam keadaan yang semakin mencabar ini, Perbankan sebagai Perkhidmatan (BaaS) telah membuka jalan baharu dalam industri perbankan dan kewangan.
BaaS kata beliau, membolehkan institusi kewangan menyediakan perkhidmatan perbankan melalui platform perisian berpandukan API.
“Dalam konteks ini, LULUS menggunakan model Baas untuk menyediakan perkhidmatan laporan kelayakan pinjaman yang cekap dan efisien kepada pelanggan kami.
“BaaS adalah penting untuk memacu inovasi dalam industri perbankan dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat kewangan di rantau ini.
“Dengan menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan kewangan yang cekap dan inovatif, Malaysia dapat menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” kata beliau.
Menurut Muhammad lagi, bagi pengguna LULUS, BaaS membawa manfaat yang nyata seperti dapat menikmati perkhidmatan perbankan yang lebih terjangkau, efisien dan mudah diakses.
“Pelanggan dapat memperoleh pembiayaan dengan lebih cepat dan mudah, menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik dan meningkatkan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang sebelumnya mungkin tidak tersedia bagi mereka.
“Dengan kerjasama ini, termasuk daripada institusi kewangan iaitu 21 bank, lima digital bank, koperasi kredit dan syarikat pinjaman yang lain, rakyat dapat menikmati kebaikan ini.
“Sebagai penyedia BaaS terkemuka di Malaysia, kami menyedari tanggungjawab kami untuk memastikan integriti dan keselamatan data pelanggan,” katanya.
Beliau turut berjanji akan terus bekerja keras untuk mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan yang berlaku serta memastikan privasi dan kepercayaan pelanggan terpelihara. – MalaysiaGazette