Izuan Kassim

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ditukar saat-saat akhir ditukar berikutan ‘isu-isu teknikal’.

Untuk makluman, Sabtu lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan Aidi Amin sebagai calon parti itu bagi kerusi DUN Kota Damansara bagi mewakili PH.

Menurut sumber terdekat yang enggan namanya disiarkan mendakwa, atas sebab-sebab teknikal – kepimpinan telah membuat keputusan untuk mencalonkan Ketua Angkatan Muda Selangor, Izuan Kassim.

“Sebenarnya nama Izuan ini sudah ada sebelum ini namun atas sebab yang tidak diketahui ia telah ditukar. Kemudian kami difahamkan Izuan yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam akan dicalonkan untuk kerusi Kota Damansara.

“Apa sebab penukaran ini masih lagi samar-samar, dalam kalangan kami sendiri dimaklumkan adanya sedikit isu teknikal. Tapi berita ini sah, memang ada pertukaran calon,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Izuan juga merupakan Timbalan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang lantang dalam berjuang isu-isu kepentingan umum.

MalaysiaGazette juga difahamkan semalam penduduk dan pengundi DUN Kota Damansara berharap Anwar yang juga Pengerusi PH mencalonkan semula Shatiri Mansor di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Wakil penduduk Kampung Melayu Subang, Datuk Karim Kasnan berkata, Shatiri yang merupakan penyandang kerusi berkenaan telah memberikan perkhidmatan terbaik sebaik diberi amanah sebagai wakil rakyat kawasan itu sejak 2018.

Shatiri pada PRU14 telah memperoleh majoriti 15,703 undi menewaskan pencabar Halimaton Saadiah Bohan (BN), Siti Rohaya Ahad (Pas) dan A Sivarajan (Parti Sosialis Malaysia).

Setakat ini, belum ada apa-apa pengesahan rasmi daripada pihak berwajib. – MalaysiaGazette