KUALA LUMPUR – Kereta elektrik atau EV kini menjadi satu trend popular dalam kalangan peminat automatif apabila dianggarkan terdapat lebih 40,000 pemilik kenderaan itu di negara ini.
Menyedari permintaan menggalakan itu, syarikat membaiki dan menyelenggara EV, Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare Warranty) menyasarkan untuk membuka dua pusat servis di setiap negeri pada tahun depan bagi memudahkan pemilik kereta melakukan servis berkala.
Pengarah Urusan Ezcare Warranty, Ahmad Ibrahim berkata, ketika ini terdapat dua pusat servis di bawah nama ECW Garage iaitu di Kajang dan Kuching manakala satu lagi di Bangi menerusi kerjasama dengan KWT Technology.
“Bagi pemilik EV, mereka dinasihatkan untuk melakukan servis secara berkala dan mengelak daripada membaiki kenderaan tanpa sebarang perlindungan kerana ia berisiko tinggi membabitkan nyawa.
“Hakikatnya kenderaan itu perlu diselenggara secara berkala kerana ia melibatkan minyak yang perlu ditukar namun kosnya tidak tinggi,” jelasnya lagi.
Ezcare Warranty yang beroperasi sejak akhir tahun 2016 menawarkan perkhidmatan penyedia jaminan kenderaan selepas pasaran bagi kenderaan import terpakai dan juga kenderaan terpakai.
Menggunakan konsep bengkel terbuka, syarikat itu juga memperkenalkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dari pintu ke pintu yang ditawarkan oleh unit bergeraknya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya kini giat kerjasama KWT Technology dalam membantu bengkel automotif tempatan program dikenali EV Tech Talk & Training 2023 bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam membaiki dan menyelenggara EV.
Beliau berkata, dalam program itu, peserta didedahkan secara menyeluruh tentang komponen dan sistem kenderaan elektrik, teknik pembaikan, pemeliharaan berkala dan perkhidmatan selepas jualan.
“Objektif program ini juga untuk mencari lebih ramai usahawan bengkel untuk menyertai industri EV ini kerana ia melibatkan proses transformasi ini yang memerlukan banyak peralatan bengkel yang perlu dinaik taraf termasuklah sistem perisian.
“Pada masa, KWT Technology pula memiliki kelengkapan lengkap dan akademi untuk memberi tunjuk ajar kepada bengkel lain yang berminat kerana berdasarkan pemerhatian, kami mendapati kebanyak bengkel tiada kemahiran untuk membaiki EV.
“Ini kerana EV memiliki kandungan voltage yang tinggi dan bahaya sekiranya tiada pengalaman menguruskannya kerana boleh menyebabkan kematian. Jadi pada program ini, kami turut mengajar isu keselamatan agar peserta boleh mengetahui asas-asas mengurangkan risiko kematian membabitkan EV,” katanya.
Sementara itu, EV Tech Talk & Training 2023 turut dihadiri dan Pengarah KWT, Anson Tan serta Ricky Khoo dan wakil pasukan teknikal dari YS New EV yang beroperasi di Beijing, China yang berpengalaman selama lapan tahun membaiki kenderaan elektrik berjenama TESLA. – MalaysiaGazette