PUCHONG – Sebanyak 3,173 kiosk tenaga solar akan dibina di seluruh negara kepada 113 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan nilai keseluruhan berjumlah kira-kira RM50 juta.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah tersebut 3,073 kiosk dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Ujar beliau, inisiatif tersebut dilaksanakan atas prinsip kerangka Ekonomi Madani oleh kerajaan demi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar dapat menjadi lebih berdaya saing dalam masa yang sama meningkatkan keupayaan perniagaan.
“Ini adalah kali pertama kiosk tenaga solar diadakan. Kerajaan Madani bukan sahaja komited membela nasib syarikat korporat tetapi kita juga memberi penekanan yang sama kepada peniaga kecil, pengusaha warung.
“Saya percaya inisiatif ini akan memberikan impak yang besar demi menungkatkan kualiti hidup rakyat dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan MyKiosk di Tapak Pasar, Taman Putra.
Menurutnya, sehingga kini 100 unit kiosk telah disiapkan di lima lokasi melibatkan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Mengulas lanjut beliau berkata, peniaga-peniaga terutama yang tidak mempunyai lesen boleh membuat permohonan kepada PBT untuk menyewa kiosk berkenaan.
“Sewa kita bagi kadar sangat murah, ada sehari RM10. Enam bulan pertama percuma.
“Duit ini boleh digunakan PBT untuk buat kerja-kerja penyelenggaraan, baik taraf juga meningkatkan hasil kerajaan tempatan. Dengan cara ini secara tidak langsung isu peniaga tidak berlesen akan dalat diselesaikan,”jelasnya.
Bagaimanapun, Nga menegaskan, peniaga tidak boleh menyewakan kiosk berkenaan dengan pihak lain.
“Kalau didapati sewakan, tidak berniaga sendiri ambil kesempatan maka kontrak dibatalkan automatik,” tambah beliau.-MalaysiaGazette