Melanie Ting (kiri), Sasha Lyna Abdul Latif (tengah) dan Mohd Kamri Kamarudin (kanan) sah bertanding di DUN Bukit Antarabangsa sempena PRN kali ini

AMPANG – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara dua gabungan parti Pakatan Harapan (PH),  Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengurus Pilihanraya DUN Bukit Antarabangsa, Dr. Ani Ahmad mengumumkan menerima kertas pencalonan daripada Mohd Kamri Kamarudin (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Melanie Ting (MUDA).

Dalam pada itu, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet (PH) pula berentap dengan calon PN, Sharifah Haslizah Syed Ariffin untuk merebut kerusi DUN Lembah Jaya dalam persaingan satu lawan satu.

Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (kiri) dan Sharifah Haslizah Syed Ariffin (kanan)

Proses Penamaan Calon berakhir kira-kira jam 11 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Dato’ Ahmad Razali, di sini.

DUN Bukit Antarabangsa dimenangi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu dengan majoriti undi sebanyak 25,512.

Begitu juga dengan kerusi DUN Lembah Jaya yang dimenangi Haniza Mohamed Talha yang menang atas tiket PKR pada PRU14 lalu dengan majoriti 14,790 undi sebelum keahliannya dilucut parti pada 6 April 2020.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast