Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet sebagai calon PH DUN Lembah Jaya bagi PRN 15

AMPANG – “Buat masa ini tiada (lagu kempen PRN). Allah belum bagi saya apa-apa ilham”, kata Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Penyanyi rap dan komposer terkenal itu berkata demikian ketika ditanya pemberita selesai Proses Penamaan Calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini terkenal dengan lagu Aduh Malaysia yang dijadikan antara bahan kempen dan siulan bagi penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, beliau yang menjadi calon PH bagu DUN Lembah Jaya juga enggan menggunakan sebarang gimik berbentuk persembahan mahupun nyanyian untuk mendekati pengundinya.

Jelas Altimet, beliau mahu memberi tumpuan mengubah Lembah Jaya menjadi satu kawasan yang mesra kepada semua lapisan masyarakat dan umur.

“Kalau saya tinggal di Lembah Jaya, saya nak tempat yang bagus juga untuk anak-anak saya dan untuk ibu bapa saya yang dah bersara.

“Kebanyakan penduduk Lembah Jaya yang bersara ada rasa sudah tiada apa-apa di sini lagi, jadi mungkin ada yang jual rumah dan pindah ke negeri lain seperti Ipoh, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan dan kita boleh nampak ia seolah-olah menjadi satu trend orang di Lembah Klang ini,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan persaingan sengit satu lawan satu di Lembah Jaya, Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang memberitahu telah mencapai kata sepakat dengan lawannya yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin.

“Kami berdua berbual di belakang tadi dan berjanji kita akan berkempen dengan cara berhemah. Dia (Sharifah) seorang yang beradab tinggi, dan saya rasa adab saya pun boleh tahan tinggi juga.

“Jadi kalau boleh, bukan sahaja calon, malah penyokong juga dapat menjaga adab sepanjang tempoh berkempen PRN kali ini,” katanya.

Kerusi DUN Lembah Jaya sebelum ini dimenangi Haniza Mohamed Talha yang menang atas tiket PKR pada PRU-14 lalu dengan majoriti 14,790 undi sebelum keahliannya dilucut parti itu pada 6 April 2020. – MalaysiaGazette