Nageswaran (kanan) bersama calon-calon lain di kerusi DUN Sungai Pelek.

SEPANG – Ketika semua pihak menyangka hanya ada persaingan dua penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tiba-tiba muncul seorang calon bebas pada saat-saat akhir.

Calon tersebut, R. Nageswaran pernah bertanding di bawah tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) menentang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Sepang.

Kemunculan Nageswaran juga menyebabkan kerusi Sungai Pelek akan direbut tiga pihak iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan bebas.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Nageswaran yang merupakan seorang ahli perniagaan, beliau sendiri hanya membuat keputusan untuk bertanding secara bebas pada saat-saat akhir.

“Saya ambil masa begitu lama untuk buat keputusan, bercakap dan berbincang dengan keluarga sebelum membuat keputusan bertanding.

“Saya memiliki perniagaan yang agak berjaya ketika ini namun minat serta empati terhadap isu-isu masyarakat setempat menyebabkan diri saya tetap mendekati politik walaupun sebelum ini pernah berdepan kekalahan.

“Mungkin ada fikir saya bazir masa, wang, tenaga tetapi saya tetap ingin menggunakan peluang ini mendekati masyarakat dan bersuara lantang tentang permasalahan yang dihadapi mereka, itu tekad saya. Kerana itu juga saya menjadi calon bebas,” katanya.

R Nageswaran (tengah)

Kerusi DUN Sungai Pelek antara kubu kuat DAP dengan penyandang terdahulu, Ronnie Liew namun beliau baru-baru ini bertindak meninggalkan parti itu selepas lebih 40 tahun tanpa memberikan perincian.

Ronnie yang pernah mencetuskan pelbagai isu kontroversi panas ketika dilantik sebagai Exco kerajaan negeri kerana kenyataan lantangnya.

Beliau yang menang kerusi tersebut hanya selama sepenggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 walau bagaimanapun tidak dicalonkan semula oleh parti tersebut.

Kali ini DAP telah mempertaruhkan muka baharu DAP mewakili PH, Lwi Kian Keong yang akan berdepan pencabar daripada PN, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast