PORT DICKSON – Faktor anak Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad boleh memberi kelebihan dan cabaran kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Najib.
Dari segi kelebihan, Mohd Najib berpandangan, ia adalah lebih mudah untuk memperkenalkan dirinya kepada para pengundi.
“Cabaran pula adalah untuk meletakkan diri pada standard perkhidmatan yang tinggi, itu saya kena usahakan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Teluk Kemang di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Fatah Zakaria.
Untuk rekod, Mohd Isa pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang setelah memenangi pilihan raya kecil (PRK) pada Oktober 2009 selain ADUN Linggi mulai 1978 hingga 2004.
Mohd Najib turut menyifatkan pengalaman kali pertama bertanding dalam pilihan raya sebagai pengalaman yang berguna untuk dirinya.
“Saya merayu kepada masyarakat di Bagan Pinang untuk memberi ruang dan peluang kepada saya berkhidmat mewakili mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette