Calon Barisan Nasional P.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin (kanan) bersalaman bersama calon Perikatan Nasional,Mohd Razali Saari (kiri) selepas menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Dewan Seri Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023

SUNGAI BESAR – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) kerusi N03 Sungai Panjang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan itu menyaksikan penyandang kerusi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin tampil untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Mohd Imran akan dicabar calon PN, Mohd Razali Saari.

Mohd Razali menjadi calon terawal yang tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Bernam, di sini, kira-kira jam 9.05 pagi diikuti calon BN-PH 10 minit selepas itu.

Terdahulu, Penolong Pegawai Pengurus PRN-15 N03 Sungai Panjang, Zain Azmi Mohd Nor mengumumkan proses penyerahan borang penamaan calon bermula pada jam 9 pagi dan tamat pada 10 pagi.

Bagaimanapun, Pegawai Pengurus PRN-15 N03 Sungai Panjang, Amri Ismail mengesahkan hanya dua calon sahaja yang menghantar borang pencalonan sehingga pusat penamaan itu ditutup jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, suasana di luar pusat penamaan calon juga terkawal di mana ratusan penyokong dilihat berada di khemah masing-masing di kiri dan kanan pusat penamaan calon.

PRN Selangor ke-15 merupakan pilihan raya kali pertama melibatkan calon Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRU15).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Imran memenangi kerusi DUN Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR. – MalaysiaGazette