Idzham Mohd Hashim

KUALA LUMPUR – Iskandar Investment Berhad (IIB) menyokong penuh dasar Kerangka Ekonomi Madani Kerajaan Malaysia yang berwawasan serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), terutamanya berkaitan penubuhan zon kewangan khas, pengenalan insentif cukai 15% untuk pekerja berpengetahuan, dan pelaksanaan laluan cepat imigresen.

Dasar progresif ini sudah pasti akan menarik pelaburan, menyumbang kepada pewujudan persekitaran perniagaan yang kondusif, memupuk inovasi, dan menarik bakat berkemahiran tinggi ke negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya percaya pelaksanaan dasar tepat pada masanya dapat meningkat daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama, yang memacu pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

“Dengan tumpuan khusus pada sektor utama yang digalakkan seperti industri perkhidmatan perniagaan global (GBS), digital, teknologi dan inovasi, kami membayangkan akan terhasilnya landskap yang lebih rancak dan berdaya saing untuk perniagaan dan pelabur.

“IIB kekal teguh terhadap komitmen kami untuk menjadi pemain penting dalam mencapai matlamat yang ditetapkan oleh Kerangka Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, tujuh penanda aras rangka kerja itu, termasuk aspirasi Malaysia menduduki antara 30 ekonomi terbesar dunia dan mencapai kedudukan 12 teratas Indeks Daya Saing Global, adalah seiring visi IIB untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“IIB amat berbangga menjadi pemain utama ekonomi negara, dan sumbangan kami telah memainkan peranan penting dalam prestasi luar biasa Johor menarik pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022, yang mencatatkan rekod tertinggi di Malaysia.

“Satu lagi pencapaian yang kami banggakan ialah IIB sedang mengorak langkah besar ke arah mencapai sasaran jangka sederhana untuk meningkat Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita kepada 60%.

“Antara komitmen kami terhadap kepelbagaian dan keterangkuman, kami berbesar hati berkongsi bahawa pasukan pengurusan kanan kami telah pun mempunyai
54% penyertaan wanita, sekali gus mencerminkan dedikasi berterusan kami untuk memperkasa wanita dan mewujud tempat kerja yang inklusif, justeru menjadikan IIB sebagai contoh keseimbangan jantina dalam landskap perniagaan,” ujarnya.

Idzham turut menghargai pengumuman menteri ekonomi berhubung Zon Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bersepadu sebagai sebahagian daripada NETR, sebuah usaha niaga dilaksana pemegang saham IIB, Khazanah Nasional Berhad.

Inisiatif Zon RE bukan sahaja membuka ruang dan peluang untuk pertumbuhan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, malah ia juga membawa IIB lebih dekat untuk merealisasi aspirasi bersih-sifar, penting bagi mencapai visi untuk membina metropolis yang inklusif dan mampan pada masa hadapan.

NETR Fasa 1 akan berfungsi sebagai asas pemangkin yang sempurna untuk mengubah ekonomi menjadi mampan, seterusnya membuka jalan untuk kesejahteraan generasi
akan datang.

Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha IIB untuk meletakkan Medini sebagai daerah pusat perniagaan bersih-sifar karbon (CBD). – MalaysiaGazette