KEPALA BATAS – Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap pemilihannya menjadi calon Barisan Nasional sebagai suntikan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Bertam.
Beliau gagal mempertahan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum-15 ia bukannya laluan yang mudah untuk mencapai matlamat itu kerana berdepan dengan penyandang kerusi DUN Bertam.
“Ini memberi peluang terbaik kepada rakyat Bertam menilai dan mendambakan kestabilan, kesinambungan kepada kerja kuat dan berfikir secara berkewajaran tentang pilihan calon manakah yang akan memberi keuntungan kepada mereka memandangkan ini merupakan PRN dan perlu melihat kerajaan negeri yang akan dibentuk kelak di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian di Pusat Penamaan Calon di Dewan Milenium, di sini hari ini.
Dalam perebutan kerusi DUN Batam, Reezal Merican akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.
Reezal Merican mengakui lawannya sangat mencabar kerana mempunyai pengalaman selama lima tahun mewakili rakyat dan pernah berada dalam dalam kerajaan sebelum ini.
Tambah beliau, walaupun beliau kalah pada PRU15 namun undi yang diperoleh adalah dari DUN Bertam.
“Ini membuktikan orang di sini (Bertam) tak mahu saya tinggalkan bumi Kepala Batas dan sebab itu mereka mahu menangkan saya, maka saya tak boleh mengecewakan mereka.
“Saya nak memaklumkan orang Bertam bahawa saya masih di sini, saya Reezal Merican masih di Bertam dan saya akan jadi suara anda di DUN Pulau Pinang,” ujarnya.- MalaysiaGazette