Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kanan) mengangkat tangan ke arah para penyokongnya selepas disahkan sebagai calon bertanding di DUN Bertam dalam PRU DUN Pulau Pinang yang diumumkan SPR selepas Proses Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas di Seberang Perai Utara pagi tadi.

KEPALA BATAS – Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan berhadapan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq pada Pilihan Raya negeri (PRN), 12 Ogos.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bertam, Isma Wirda Yusof
selepas proses penyerahan borang penamaan calon untuk DUN Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal yang berlangsung di Dewan Milenium, di sini, selesai jam 10 pagi.

“Saya telah semak kertas-kertas penamaan calon dan setelah selesai disemak telah berpuas hati selepas mendapati tiada ditolak kertas pencalonan.

“Maka, saya dengan ini mengesahkan calon bertanding dalam DUN Bertam adalah Reezal Merican (BN) dan kedua Khalid Methaq (PN),” katanya.

Ini merupakan kali pertama Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu bertanding di kerusi DUN selepas tiga penggal menyandang kerusi Parlimen Kepala Batas.

Khaliq Mehtab yang merupakan pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang akan mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN) berbanding sebagai calon PH pada PRU Pilihan Raya Umum ke-14.

Selain kerusi DUN Bertam, dua lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Kepala Batas iaitu Penaga dan Pinang Tunggal turut menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PH-BN dan PN.

Bagi DUN Penaga, calon PN dari Pas, Mohd. Yusni Mat Piah akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 dengan menentang muka baharu, Mohd. Naim Salleh.

Kerusi DUN Pinang Tunggal bakal menyaksikan persaingan dua penjuru melibatkan calon PKR, Zainudin Mohamad dan Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali.

Terdahulu, penyokong kedua-dua yang membawa bendera parti masing-masing tiba di hadapan Dewan Millenium pada jam 8.30 pagi.

Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Utara termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) menutup jalan berhampiran pusat penamaan calon pada jam 7 pagi bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast