KUALA LUMPUR – Artis rapper yang menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya mewakili Pakatan Harapan (PH), ALtimet yakin dengan gerak kerja bersama rakyat ketika mula terjun ke dunia politik hampir tiga tahun lalu.
Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, apabila dirinya diberikan kepercayaan untuk menjadi Penyelaras DUN Lembah Jaya hampir lapan bulan sebelum ini memberikannya kelebihan untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu.
Ketika ditemui semasa hari kedua berkempen, Altimet yang tidak kekok dengan penduduk dan menegaskan populariti yang dimilikinya bukan satu kelebihan untuk ‘menang mudah’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Sesiapa yang hanya bergantung kepada populariti sahaja ialah orang yang kurang bijak. Sebaliknya sesiapa mengenali saya dekat, semua tahu saya adalah seorang yang jenis berusaha kepada yang lebih baik.
“Alhamdulillah setakat ini, kempen kita berjalan lancar dan saya jenis orang yang akan bagi usaha sebanyak 150 peratus dan itu yang saya akan bawa semasa berkempen.
“Jika hari ini, kita sudah mula panas badan dan dalam sehari dua lagi insya-Allah kita akan masuk gear empat dan lima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni Majlis Resepsi penduduk Lembah Jaya hari ini.
Jadual Altimet juga padat dengan sebelum itu sempat meluangkan masa pada program Mega Zumba di Taman Kosas dan beramah mesra bersama komuniti pangsapuri Lembah Permai.
Ketua Cabang PKR Ampang itu juga mengunjungi Pertandingan Badminton Parlimen Ampang di Kompleks D’star Arena.
Kata Altimet, sama seperti ketika bergelumang dengan dunia muzik, dirinya aktif menulis lagu-lagu bertemakan rakyat dan itu juga memerlukan dirinya dekat dengan masyarakat.
“Saya ambil pendekatan, pengalaman saya dalam industri muzik, apabila kita mahu menulis lagu untuk rakyat kita kena turun ke bawah dan mendengar,” ujarnya. – MalaysiaGazette