ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra bercita-cita untuk membantu Kedah agar menjadi sebuah negeri model integriti, stabil dan berwawasan.
Prof Dr. Haim Hilman Abdullah yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia bertekad untuk memastikan negeri itu mempunyai pelan strategik yang mampan pada masa akan datang.
“Biar orang kata hari ini kita negeri kedua termiskin. Orang puji melangit tentang Selangor, Pulau Pinang, Johor. Biarkan. Kita mulakan dari bawah.
“Pasti Allah akan datangkan ilham-ilhamnya, pasti Allah berikan kita jalan-jalannya. Kita akan bela nasib pesawah, penoreh getah, orang yang bekerja di kilang, anak muda dan semua yang dinafikan haknya sebelum ini.
“Selama ini saya memperhambakan diri saya untuk membangunkan anak bangsa di universiti. Perancangan Allah itu hebat, Allah susun saya sehingga boleh terjun membantu masyarakat secara terus,” katanya.
Haim Hilman menambah, setiap tahun kerajaan habis berbilion ringgit bagi tujuan pendidikan dan sepatutnya negara ini sudah menjadi kuasa besar kerana pendidikan yang rakyat terima.
“Tetapi, di mana cerdik pandai ini semua? Kemahiran fikir mereka disalurkan di mana? Sebab itu perlu ada pemimpin yang sudi memanfaatkan akal dan jiwa anak bangsa ini,” katanya. – MalaysiaGazette