Connie Tan Hooi Peng.

MEMILIKI personaliti menawan serta ijazah dalam bidang undang-undang dari United Kingdom dianggap bukan satu kelebihan buat calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng.

Sebaliknya wanita yang mesra dengan panggilan Connie itu menegaskan, dirinya berhadapan cabaran untuk memastikan Seri Delima sebagai sebuah kawasan yang mesra penduduk termasuk bagi golongan warga emas.

Connie percaya pengalaman sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama lapan penggal mampu mengangkat Seri Delima seiring dengan pembangunan maju Pulau Pinang.

Sebagai calon muka baharu dan muda apa yang menjadi cabaran Connie dalam PRN15?

Memang ramai dekati dan terima kehadiran saya atas alasan muda dan cantik tetapi ia juga menjadi cabaran apabila mereka (penduduk) fikirkan saya tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

Sehubungan itu, dalam tempoh kempen ini saya all out (bekerja keras) untuk memperkenalkan diri termasuk menyatakan pengalaman saya dalam parti DAP lebih 10 tahun serta ahli majlis selama lapan penggal untuk memberi gambaran meskipun muda saya juga mempunyai pengalaman politik.

Dalam masa sama, menerusi kempen saya juga menyampaikan mesej kepada pengundi supaya keluar mengundi pada 12 Ogos nanti.

Apa perancangan sebagai wakil rakyat untuk penduduk kawasan Seri Delima sekiranya diberi mandat?

Saya gariskan tiga manifesto utama untuk direalisasikan sekiranya pengundi DUN Seri Delima memberi mandat kepada saya pada PRN kali ini.

Selain itu, sebagai wanita saya akan memainkan peranan untuk memartabatkan golongan kaum Hawa mlakukan sesuatu yang kreatif selaku anak muda.

Malah, sebagai bekas ahli majlis saya akan menggunakan pengalaman itu untuk mengukuhkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memberi kualiti hidup yang setaraf kawasan maju.

Apa pandangan Connie berhubung dakwaan DUN Seri Delima tempat ADUN sepenggal ?

Mungkin ramai lihat wakil rakyat di kawasan ini hanya berkhidmat sepenggal namun bagi saya kita kena lihat mereka yang berkhidmat diangkat menjadi ahli Parlimen.

Itu menunjukkan pemimpin atau wakil rakyat di kawasan ini berdedikasi dalam menjaga penduduk sehingga mereka diangkat menjadi  suara rakyat untuk didengari di Parlimen.

Apa pandangan Connie dengan pencabar dari calon Perikatan Nasional iaitu saudara A. Mohan?

Sejujurnya, saya hanya jumpa Mohan pada hari penamaan calon dan sembang kami bersembang seketika semasa itu. Bagi saya, dia orang lama dan mungkin ada pengalaman banyak dalam politik sekali gus ini merupakan persaingan yang adil.

Namun yang penting untuk saya bukan memikirkan pencabar tetapi fokus misi yang saya akan dilaksanakan dan biar pengundi sendiri nilaikan calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Jadi saya serahkan pilihan kepada pengundi kerana saya yakin mereka akan memilih individu yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan semua lapisan penduduk. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast