ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir atau lebih dikenali sebagai Acap menyifatkan kehadirannya sebagai calon Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ibarat pulang ke kampung halaman.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu berjanji untuk terus bekerja dan enggan menolah ke belakang selepas selesai proses penamaan calon semalam.
“Alhamdulillah diberi izin Allah SWT dinobatkan secara sah calon mewakili PN bagi Kota Siputeh. Kita terus bekerja! Sejak hari mula pulang ke kampung halaman tidak pernah sama sekali saya toleh ke belakang.
“Semuanya atas rahmat Allah demi kecintaan buat orang Kota Siputeh,” katanya di Facebook.
Sementara itu, PRN bagi kerusi DUN Kota Siputeh mencuri tumpuan dengan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jerlun Abdul Ramli sendiri tampil menjadi calon bebas.
Selain Mohd Ashraf Mustaqim dan Abdul Ramli, PRN kali ini juga menampilkan penyandangnya, Dr Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH).
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Kota Siputeh dimenangi oleh Salmee yang meraih majoriti undian sebanyak 1,467 menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Mohd Rejab Md Akhir (Pas) dan Ahmad Azhar Abdullah (BN). – MalaysiaGazette