Calon Barisan Nasional N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada MalaysiaGazette selepas beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Bazaar Dorani Perdana, Sungai Besar, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023.

SUNGAI BESAR – Pasar Sungai Haji Dorani di sini yang terkenal dan menjadi tumpuan pengunjung luar untuk mendapatkan barang basah dari laut kini semakin hilang daya tarikan dek kerana pembangunan.

Penjenamaan pasar basah itu selepas penempatan semula komuniti peniaga kecil itu dari jalanan ke kompleks Bazar Dorani Perdana sejak tiga tahun lalu tidak banyak membantu bahkan menjejaskan punca pencarian penduduk.

Keadaan pasar basah sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Bazaar Dorani Perdana,Sungai Besar, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023.

Penyandang kerusi Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ketiadaan papan tanda yang jelas untuk menunjukkan arah ke pasar basah terbabit menyebabkan jumlah pengunjung semakin merosot.

Beliau berkata, keadaan yang berlarutan sejak pembukaan bazar itu perlu diatasi segera kerana Pasar Sungai Haji Dorani antara destinasi utama hasil laut di Selangor kepada pelancong tempatan.

“Kawasan ini suatu ketika dahulu meriah dan terkenal dengan produk ikan segar dan sayur-sayuran dari kampung.

“Namun ada beberapa rungutan dan isu yang dibangkitkan pengusaha dan peniaga yang sebelum ini berniaga di tepi jalan, kemudian dipindahkan kerana pembangunan kompleks Bazar Dorani Perdana.

“Biasanya kawasan ini dibanjiri pengunjung dari luar pada hujung minggu Sabtu dan Ahad, tapi kini berlaku sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Bazar Dorani Perdana, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional P.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Bazaar Dorani Perdana,Sungai Besar, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023.

Terdahulu Mohd Imran bersarapan bersama penduduk setempat dan menyantuni komuniti peniaga di pasar basar terbabit.

Susulan permasalahan itu, Mohd Imran segera menghubungi Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han sebaik sahaja beliau dimaklumkan perkara terbabit.

“Tadi saya berjaya menghubungi Yang Berhormat Ng Sze Han selaku Kerajaan Sementara Selangor yang masih lagi memegang portfolio Kerajaan Tempatan.

“Saya mohon supaya ada satu pembaikan segera untuk masalah ini iaitu dari segi pemakluman, promosi serta papan tanda yang menunjukkan bazar Sungai Haji Dorani ini

“Saya juga memohon melalui YB Ng Zee Han supaya diadakan segera papan tanda yang jelas sampai maksudnya untuk mempromosi tempat ini,” katanya.

Calon Barisan Nasional N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Bazar Dorani Perdana, Sungai Besar, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023.

Dalam pada itu, Mohd Imran mahu nama pasar basah itu dirombak semula bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengunjung luar.

“Bila guna nama ini (Bazar), pihak pengguna atau orang awam menggambarkan macam bazar Ramadan atau uptown di tempat lain.

“Sedangkan di sini adalah pasar basah untuk mendapatkan barang keperluan asas lauk pauk ayam, ikan, udang dan sebagainya yang mana hasil itu datang dari sini.

“Saya juga minta supaya diletakkan nama pasar awam bazar Sungai Haji Dorani supaya orang tahu ini adalah pasar basah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast