Mahfuz Omar ketika berkempen pada Program Rahmah Mesra di Kampung Pagar Air di sini hari ini.

ALOR SETAR – Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak realistik dan bukan satu keperluan yang mendesak kepada rakyat, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Negeri ini menjelaskan, ini kerana Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas lebih menjadi pilihan bagi penumpang yang menaiki penerbangan.

Tegas beliau, sebaliknya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih memikirkan projek jangka panjang menerusi pembinaan saliran padi untuk menjadikan Kedah sebagai Jelapang Padi Negara yang menghasilkan bekalan berkualiti pada masa akan datang.

“Kerajaan Kedah hari ini asyik fikir buat airport baharu tapi kerajaan Anwar Ibrahim duduk fikir macam mana hendak baiki bendang supaya Jelapang Padi Negara kita ini mampu menghasilkan padi yang lebih baik dan berkualiti untuk masa akan datang.

“Yang ini lebih realistik yang lebih utama daripada buat airport. Kalau dia (Kerajaan Kedah) buat airport di Kulim pun, kita tetap naik airport di Kepala Batas hendak pergi umrah atau haji. Tak kan pergi ke Kulim?

“Jadi tidak menjadi satu keperluan mendesak untuk pembinaan sebuah airport yang bernilai RM7 bilion ke RM8 bilion.

“Anwar tolak tapi beliau ganti RM3 bilion dengan sistem saliran padi. Yang ini jadi keperluan petani yang ada di negara kita,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berkempen pada Program Rahmah Mesra di Kampung Pagar Air di sini hari ini.

Mahfuz sekali lagi bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din pada PRN 12 Ogos ini.

Pada PRN pada 12 Ogos ini, Mahfuz sekali lagi bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din selepas pernah bertembung di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang kemenangan berpihak kepada Mahfuz.

Namun Naib Presiden Amanah itu gagal mempertahankan Parlimen itu pada PRU15 tahun lalu.

Kawasan itu merupakan antara tarikan kerusi panas dalam Parlimen Alor Setar yang menjadi perhatian  kerana menyaksikan pertembungan satu lawan satu di kesemua DUN terlibat termasuk Suka Menanti dan Kota Darul Aman.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyifatkan perlu ada keperluan untuk mewujudkan satu persamaan kerajaan pada peringkat negeri dan pusat.

Jelas beliau, ini kerana projek yang akan dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa untuk siap selama tiga tahun turut melibatkan keputusan kerajaan negeri.

“Ia akan babitkan kerajaan negeri kerana pengambilan tanah dan lain-lain melibatkan keputusan kerajaan negeri. Bila kerajaan negeri yang tidak sealiran dan bergaduh pula dengan kerajaan Pusat, projek itu tidak boleh dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast