Antara 200 orang mualaf yang menunaikan solat maghrib bersama pada Majlis Menyantuni Mualaf di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima seramai 5,220 mualaf yang didaftarkan sepanjang tahun lalu sehingga bulan Jun 2023.

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail berkata, sebanyak 39 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS berbanding 36 sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.

“PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat memeluk agama Islam dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pun pihak lain.

“Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga memainkan peranan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka.

“Setakat Jun ini, seramai 749 orang yang membuat pendaftaran pengislaman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat amat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mereka ke PPP berhampiran dengan membawa dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan.

Sementara itu, MAIS turut menganjurkan Program Turun Padang Perkampungan Orang Asli (KOA) Kepau Laut, Pulau Carey bersempena Kempen Bulan Muallaf MAIS, semalam.

Tambah Suhaimi, kempen sebulan yang berakhir 31 Julai bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat di Selangor berkaitan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan oleh MAIS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast