Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara Shah Alam memuji tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menyekat mana-mana mahasiswa  terbabit dalam parti politik termasuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Yang Dipertuanya, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, ia dilihat selari dengan Agenda KPT yang ke-11 iaitu pemerkasaan mahasiswa yang meliputi kebebasan di dalam kampus dan luar kampus.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di atas kelonggaran-kelonggaran autonomi mahasiswa universiti yang tidak pernah dimiliki sebelum ini.

Mohamed Yusuf Hassan Roslan.

“Sebenarnya, ia memberikan gambaran yang jelas bahawa pihak KPT amat komited dalam mendidik mahasiswa yang cakna dengan isu semasa, bukan hanya hebat dalam akademik tetapi pembangunan modal insan juga diutamakan.

“Bak kata Menteri Pendidikan Tinggi, kita nak memanusiakan manusia di universiti di mana mahasiswa akan belajar untuk menguruskan hal ehwal kewangan, masa dan pembangunan pelajar.

“Hal ini jelas dilihat apabila autonomi kebebasan berpolitik diberikan dan diperluaskan terutamanya pada musim Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Yusuf menambah, ketika ini, tiada sekatan pelajar daripada menyertai politik atau menyokong mana-mana parti politik bahkan boleh untuk menjadi calon.

Namun tegas beliau, perlu ada batasannya iaitu tidak boleh membawa agenda kepartian di dalam kampus dan apa-apa pun yang tiada melebihi undang-undang.

Malahan menurutnya, dengan kelebihan itu persekitaran yang demokratik dan inklusif dapat dipromosikan dalam institusi akademik.

“Penekanan untuk tidak membenarkan politik kepartian di dalam kampus menunjukkan usaha untuk mengekalkan suasana yang aman dan kondusif untuk pembelajaran dan wacana intelektual dan bebas daripada potensi pengaruh memecahbelahkan komuniti pelajar yang terbina sedia ada.

“Pendekatan ini sejajar dengan idea bahawa universiti harus menjadi ruang untuk dialog terbuka, pemikiran kritis, dan pertukaran idea, bukannya menjadi platform untuk aktiviti kepartian,” katanya.

Pada masa yang sama juga, Mohamed Yusuf menyeru kepada semua mahasiswa yang berkenaan untuk turun mengundi dan melaksanakan tanggungjawab pada 12 Ogos ini kerana setiap undi itu dikira.

“Secara keseluruhannya, pendekatan KPT ini sememangnya dapat menyeimbangkan antara penglibatan politik dalam kalangan mahasiswa dan integriti institusi akademik sebagai tempat pendidikan dan penyebaran ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast